Sarawak mahu kembangkan penerbangan ke rantau Asia

MASwings: Sarawak mahu kembangkan penerbangan ke rantau Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk memulakan destinasi penerbangannya ke negara rantau asia termasuk Australia, Hong Kong, Korea, Jepun dan Thailad selepas pengambilan MASwings.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, Sarawak tidak mahu hanya bergantung kepada penerbangan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), sebaliknya turut menyasarkan menjadi antara hab destinasi bagi laluan rantau Asia.

“Kita mahukan MASwings ini apabila selesai pengambilan saham, ia menjadi syarikat penerbangan kita yang sepenuhnya milik Hornbill (Hornbill Skyways Sdn. Bhd.), dan ketika ini MASwings adalah syarikat penerbangan RAS yang terbang ke Sabah dan Sarawak.

“Jadi kita mencadangkan kepada Kerajaan Pusat apabila kita mengambil alih MASwings ia mestilah terbang di luar negeri Borneo, bermaknanya di kawasan rantau. Rantau ini ialah lebih kurang penerbangan 6 ke 7 jam, ini termasuk ‘Far East’ maknanya Korea, Jepun, Hong Kong, India dan Australia,” jelasnya.

Abang Johari berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi urusan pengambilan saham antara Kerajaan Sarawak, Hornbill Skyways dan Malaysia Aviation Group Berhad, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, tempoh selama tiga bulan diperuntukkan bagi mengenalpasti jumlah pengambilan saham milik syarikat penerbangan MASwings dan menjangkakan tahun depan untuk memulakan penerbangan milik kerajaan Sarawak.

“Kita beri mereka masa tiga bulan, kalau boleh tahun depan sudah boleh terbang.

“Sarawak berkehendakkan ‘majority of block’ bermaknanya 100 peratus saham milik kerajaan negeri, tetapi mungkin MAG mahu `share‘ sedikit, tapi majoriti mesti Sarawak memegang saham kongsi tersebut,” tegas Abang Johari lagi.

Kerajaan Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Persekutuan pada 20 Julai 2023, bagi mengambil alih perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah.

Kata Abang Johari, langkah pengambilan MASWings itu amatlah bertepatan dalam usaha kita untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penerbangan luar bandar di Sarawak dan Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×