Malakoff labur RM2.5 bilion hasilkan 500MV tenaga solar

Malakoff labur RM2.5 bilion hasilkan 500MW tenaga solar

MAJLIS pemeteraian kerjasama antara Malakoff dan pelabuhan-pelabuhan di bawah Syarikat Kumpulan MMC untuk meneroka potensi kolektif kerjasama dalam tenaga hijau di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) akan melabur sebanyak RM2.5 bilion untuk membangunkan projek solar berkapasiti 500 megawatt (MW) dalam Kumpulan Syarikat Albukhary, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi tujuan itu, Malakoff telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pelabuhan-pelabuhan di bawah Syarikat Kumpulan MMC untuk meneroka potensi kolektif mela­lui kerjasama dan penerokaan peluang perniagaan dalam pelbagai inisiatif tenaga hijau termasuk Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) melibatkan pelaburan sebanyak RM350 juta.

Pelabuhan terlibat adalah Northport (Malaysia) Berhad, Johor Port Berhad, Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. dan Penang Port Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, melalui MoU ini, Malakoff dan pelabuhan-pelabuhan MMC bersedia untuk memulakan kerjasama transformasi dalam Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

Katanya, Malakoff akan memainkan peranan sebagai pengeluar kuasa solar dan pelabuhan-pelabuhan MMC akan berperanan sebagai pengguna korporat.

“Kerjasama strategik ini mencerminkan aspirasi dan komitmen kami untuk mena­ngani isu-isu alam sekitar global dengan memperluaskan portofolio tenaga boleh diperbaharui (RE) kami yang sedia ada dan meneroka bidang-bidang berbeza dalam inisiatif hijau melalui penyelesaian komprehensif dan inovatif.

“Sehingga kini, pencapaian kami melibatkan kapasiti solar sebanyak 67 MW melalui solar berskala besar (LSS) dan rooftop solar serta kapasiti kuasa hidro sebanyak 84 MW yang sedang dalam proses-proses pemba­ngunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian tersebut sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Malakoff, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Anwar Syahrin berkata, sehingga kini, pencapaian syarikat melibatkan kapasiti solar sebanyak 67MW melalui LSS dan solar atas bumbung, serta kapasiti kuasa hidro sebanyak 84MW yang sedang dalam proses pembangunan.

“Kami juga sedang mengkaji untuk mengeksport tenaga ke negara-negara jiran seperti Si­ngapura,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, Malakoff dan pelabuhan-pelabuhan MMC juga sedang meneroka peluang kerjasama dalam program LSS serta mempertimbangkan pelaksanaan cold ironing atau bekalan tenaga dari pantai ke kapal.

Tambahnya, Malakoff mempunyai sasaran untuk mencapai kapasiti RE sebanyak 1,400MW menjelang 2031 dan kadar kitar semula sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus menjelang 2025 dari sisa yang dikumpulkan oleh anak syarikatnya, Alam Flora Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN