PETALING JAYA: Lynas Rare Earths Australia mengumumkan rancangan untuk menutup sementara semua operasinya di Malaysia kecuali kilang pemprosesan karbonat nadir bumi campuran pada Disember.
Memetik laporan Reuters, Syarikat itu berkata, ia akan melaksanakan peningkatan kepada operasi hilirannya di Lynas Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran neodymium-praseodymium (NdPr) kepada kira-kira 10,500 tan setahun.
“Peningkatan itu akan menjadi penting jika lesen operasi syarikat di Malaysia, yang mempunyai syarat menghalang pelombong daripada mengimport dan memproses bahan mentah nadir bumi mulai Januari 2024, dikemas kini untuk membolehkan pengimportan dan pemprosesan berterusan Lanthanide pekat,” katanya.
Saham syarikat perlombongan itu dilaporkan jatuh sebanyak 2.7 peratus kepada A$6.24 terendah sejak 3 Mei.
Laporan itu berkata, operasi Lynas di Malaysia ‘mengecewakan’ Syarikat itu, susulan dasar kerajaan Malaysia yang menyuarakan kebimbangan mengenai tahap radiasi daripada retakan dan larut lesap di kilangnya sejak beberapa tahun lalu.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah memberi amaran mengenai pelaksanaan dasar mengharamkan eksport bahan mentah nadir bumi.
Menurut laporan itu lagi, semasa penutupan yang bermula pada pertengahan November untuk menyelesaikan kerja-kerja menaik taraf, kakitangan utama dari loji di Malaysia yang mengalami keretakan dan larut lesap, akan ‘dikerah’ untuk membantu proses permulaan kemudahan pemprosesan nadir bumi di Kalgoorlie di Australia Barat.
Lynas, yang lesen operasinya di Malaysia telah dilanjutkan sehingga Januari 2024 berkata, permohonan penangguhan bagi membolehkannya beroperasi secara normal di Malaysia dan rayuan pentadbiran serta undang-undang akan didengar dan diputuskan untuk pendengaran pada November.
Pengeluar nadir bumi terbesar dunia di luar China itu juga melaporkan penurunan 21.8 peratus dalam hasil jualan suku pertamanya kepada A$128.1 juta (RM386.1 juta). Ia ‘terlepas’ anggaran konsensus sebanyak A$159 juta, menurut Barrenjoey.
“Laporan pengeluaran kelihatan sedikit mengecewakan dan banyak isu penyelenggaraan akan datang yang tidak membantu,” kata Henry Jennings, penganalisis pasaran kanan di Marcustoday.
Pengeluaran NdPr Syarikat bagi suku tersebut mencapai 1,526 tan oksida nadir bumi (REOt), berbanding 1,045 REOt setahun sebelumnya, jelas laporan itu. – UTUSAN










