CYBERJAYA: Perintis global dalam platform berasaskan pengetahuan dan modal teroka, Leave a Nest Group (LVNS) mengumumkan pelancaran Center of Garage Malaysia (COG) yang bakal memulakan operasi secara rasmi pada 1 November ini.
Pengarah Urusan LVNS Malaysia, Abdul Hakim Sahidi berkata, COG Malaysia adalah ekosistem inkubasi teknologi mendalam pertama ditubuhkan oleh LVNS Group di Asia Tenggara yang akan meletakkan Malaysia sebagai hab pengilangan pengetahuan dan teknologi di rantau ini.
Menurutnya, pengumuman tersebut turut menandakan usaha niaga sulung LVNS Group di luar Jepun sekali gus mengesahkan komitmen mereka untuk memacu peningkatan di negara ini.
“Syarikat pemula niaga atau usahawan ‘deep tech’ akan disokong dengan sokongan meluas daripada ekosistem LVNS yang merangkumi pecutan perniagaan, prototaip dan pembuatan, pembiayaan serta akses kepada pasaran global.
“Ekosistem ini juga disokong secara inklusif oleh syarikat multinasional, agensi kerajaan, ‘super factories’ atau rakan kongsi pembuatan, universiti serta pihak berkepentingan lain yang berkaitan.
“Menerusi COG MY, LVNS menyasarkan untuk menyampaikan penyelesaian lebih berkesan dan bermakna untuk menyelesaikan isu mendalam global dan akhirnya membawa ke arah ‘global happiness’,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran COG Malaysia di Co Place 10 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, sehingga kini LVNS telah menyokong lebih 3,000 syarikat pemula niaga di seluruh negara menerusi ekosistemnya dan melalui COG Malaysia, LVNS menyasarkan penyertaan sebanyak 100 syarikat secara fizikal atau maya.
Jelasnya, antara fungsi utama COG adalah memperkasa ekosistem ‘deep tech’ dimana ia memainkan peranan penting menawarkan perusahaan pemula ini kepada persekitaran yang dilengkapi dengan sumber penting, bimbingan dan infrastruktur diperlukan untuk memupuk teknologi termaju.
“Selain itu, COG juga berfungsi sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN untuk syarikat-syarikat pemula global, memupuk bakat global termasuk pengumuman kerjasama yang menarik,” ujarnya
Tambahnya lagi, COG Malaysia akan menjalin kerjasama dengan rakan korporat seperti Mitsubishi Electric, Kobashi Holdings, Euglena dan Real Tech Holding Singapore serta membabitkan rakan kongsi pembuatan iaitu Micro Precision Machining Sdn Bhd, PICA Manufacturing dan Zull Design Autotronics.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LVNS Group dan Pengasas LVNS, Dr. Yukihiro Maru berkata, COG Malaysia bukan sahaja bakal menjadi pemangkin kepada inovasi dan kerjasama malah turut melibatkan pertukaran pengetahuan.
“Dengan menghubungkan mereka dengan peluang global dan memupuk pembangunan bakat, COG berhasrat untuk mengangkat Malaysia ke barisan hadapan dalam landskap pembuatan teknologi dan pengetahuan,” katanya. – UTUSAN










