Keputusan pemilihan Lembaga Pengarah KNM dipertikai

Keputusan pemilihan Lembaga Pengarah KNM secara maya dipertikai

TUNKU Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Andreas Heeschen (kanan) dalam sidang media di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah sultan Iskandar dan Lembaga Pengarah dicadangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) KNM Group Berhad, secara kolektif tidak mengiktiraf keputusan pemilihan yang telah dibuat hari ini.

Serentak itu, Tunku Kamariah dan kumpulannya meminta siasatan dijalankan oleh pihak berkenaan mengenai kemungkinan berlaku ketidaknormalan dalam pengiraan undi yang dijalankan secara maya pada pemilihan berkenaan.

“Dalam mesyuarat dalam talian, mana-mana lembaga pengarah sedia ada boleh memerintahkan pendaftaran haram pemegang saham yang tidak menghadiri mesyuarat pemegang saham khas, membolehkan mereka mengundi secara haram tanpa sebarang cara pemeriksaan yang sewajarnya.

“Tindakan curang seperti ini boleh berlaku semasa pegambilalihan musuhan sebuah syarikat tersenarai,” katanya dalam kenyataan.

Selain Tunku Kamariah, Lembaga Pengarah dicadangkan adalah jutawan Jerman yang juga sahabat beliau, Andreas Heeschen, Datuk Abdul Ghani Yusof, Datuk Zaidi Mat Isa @ Hashim, William H Van Vliet III, Flavio Porro dan Edwin Silvester Das.

Heeschen dilaporkan telah dijemput oleh Tunku Kamariah untuk melabur di Malaysia sambil membawa pelaburan langsung asing (FDI) dan perniagaan baharu bagi menyelamatkan KNM yang berdepan krisis kewangan.

Pada 20 September lalu, kerabat Johor itu dilaporkan telah menyuarakan kebimbangan mengenai pengiraan undi menyurat dalam talian.

Tunku Kamariah mendakwa, semasa undian dalam talian EGM hari ini, jelas satu resolusi tidak diundi dengan 323 juta saham milik Heeschen, menghasilkan jumlah undian sebanyak 634.5 juta.

Resolusi lain kemudiannya dakwa beliau, merangkumi saham Heeschen dan dijumpai secara mengejut dengan perbezaan sebanyak 323 juta.

Dakwanya lagi, keutamaan dalam perkara tersebut membuktikan bahawa borang proksi fizikal seperti yang diberikan oleh Heeschen sebelum EGM tidak diiktiraf dan membawa kepada persoalan sama ada borang proksi fizikal lain telah diterima dan dimasukkan dalam jumlah undi keseluruhan.

“Jumlah keseluruhan saham yang diundi nampaknya sangat mendekati 2 peratus perbezaan daripada modal saham yang dikeluarkan.

“KNM menolak permintaan kami untuk seorang peguam bebas mengawasi pengiraan undi dalam EGM. Mungkin mereka ada sesuatu yang mahu disorok,” dakwanya.

Tunku Kamariah turut menyuarakan kebimbangan apabila lima soalan langsung yang dikemukakan dianggap sebagai soalan yang tidak relevan sebelum undian dijalankan.

Soalan itu termasuk berapakah jumlah keseluruhan proksi yang diterima; berapakan jumlah keseluruhan proksi yang ditolak dan siapakah mereka; berapakah jumlah keseluruhan proksi yang melantik pegerusi untuk mengundi; berapakah jumlah keseluruhan proksi yang menyokong pemecatan dan jumlah keseluruhan proksi yang mengundi menyokong pelantikan.

“Kami sedang menilai situasi ini dan akan berbincang dengan penasihat kami. Pilihan kami merangkumi tawaran bersyarat hingga dialog dengan pemiutang dan pihak berkepentingan lain,” kata Andreas.

Sementara itu, KNM gagal dihubungi untuk sebarang komen. Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan sebaliknya memaklumkan, Lembaga Pengarah sedia ada di bawah Tunku Datuk Yaacob Khyra selaku pengerusi, telah mendapat sokongan majoriti daripada pemegang saham dalam pemilihan tersebut.

Lembaga Pengrah katanya, kekal komited untuk meneruskan usaha mereka bagi melangsaikan hutang Kumpulan dalam tempoh sembilan bulan melalui penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) Borsig. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya