PETALING JAYA: Malaysia berdepan risiko mengalami krisis demografi melibatkan penyusutan pertumbuhan penduduk, dengan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) merekodkan paras terendah tahun lalu kepada 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun.
Ini berbanding 1.7 yang direkodkan pada 2021, menurut penerbitan Perangkaan Penting, Malaysia, 2023 oleh Jabatan Perangkaan semalam yang berfungsi sebagai input utama untuk penggubalan dasar dan perancangan program berkaitan kependudukan, kesihatan, pendidikan serta pekerjaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar kesuburan ini merupakan yang terendah sejak lima dekad yang lalu, apabila 4.9 anak bagi setiap perempuan direkodkan pada tahun 1970.
“Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara telah direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak yang menunjukkan bahawa purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangan.
“Namun, TFR mula menurun kepada bawah paras penggantian bermula tahun 2013 hingga kini.
“Trend penurunan kadar kesuburan ini berpotensi akan mengakibatkan berlaku krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, penuaan penduduk dan kesan terhadap ekonomi dan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi tempoh 2011 hingga 2022, TFR bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia menunjukkan trend menurun.
TFR tertinggi dicatatkan oleh Melayu iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun pada 2022, manakala, Cina merekodkan TFR terendah iaitu 0.8 anak.
Pada peringkat negeri, semua negeri merekodkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu (2.9 anak), Kelantan (2.7 anak) dan Pahang (2.1 anak).
Menurut Jabatan Perangkaan, terdapat beberapa negara yang menghadapi penurunan TFR di bawah paras penggantian jauh lebih awal seperti United Kingdom (1973: 2.0 anak) dan Perancis (1976: 2.0 anak).
“Sehubungan itu, kedua-dua negara ini telah bertindak secara proaktif terhadap isu penurunan TFR yang berpotensi membawa kepada krisis demografi dengan melaksanakan strategi meningkatkan migrasi masuk untuk meningkatkan bilangan penduduk dan tenaga buruh.
“Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan potensi cabaran ekonomi dan demografi yang berkaitan dengan penurunan kadar kelahiran, seperti penuaan penduduk dan kekurangan tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN










