PETALING JAYA: Jumlah perdagangan, eksport dan import negara pada September 2023 kekal menguncup untuk bulan ketujuh berturut-turut sejak Mac, didorong permintaan global yang perlahan dan harga komoditi lebih rendah, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Jumlah perdagangan berkurang 12.6 peratus kepada RM224.4 bilion, eksport menyusut 13.7 peratus kepada RM124.5 bilion dan import menurun 11.1 peratus kepada RM100 bilion, tahun ke tahun.
Lebihan dagangan turut merosot 23 peratus kepada RM24.5 bilion pada September 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pada September 2023 selaras dengan penurunan yang ditunjukkan oleh kedua-dua eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula berjumlah RM27.8 bilion, menyusut 17.9 peratus berbanding September 2022. Eksport domestik bernilai RM96.7 bilion, menyumbang 77.7 peratus kepada jumlah eksport berkurang 12.4 peratus.
“Berbanding Ogos 2023, prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan merekodkan peningkatan masing-masing 8.2 peratus, 2.1 peratus, 5.4 peratus dan 42.7 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Meninjau dari sudut kumpulan barangan, sebanyak 146 daripada 255 kumpulan barangan eksport dan 149 daripada 258 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Jelas Mohd. Uzir, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke China (-RM3.5 bilion), diikuti Singapura (-RM2.5 bilion), Jepun (-RM2.5 bilion), Indonesia (-RM1.9 bilion), Amerika Syarikat (-RM1.5 bilion), Australia (-RM1.4 bilion) dan Hong Kong (-RM1.2 bilion).
Sementara itu, katanya, penurunan import terutamanya disumbangkan dari Amerika Syarikat (-RM2.7 bilion), diikuti Taiwan (-RM2.3 bilion), Indonesia (-RM2.2 bilion), China (-RM2.2 bilion), Arab Saudi (-RM1.8 bilion) dan Jepun (-RM1.5 bilion).
Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, penyusutan selaras dengan pengurangan oleh keluaran petroleum (-RM6.6 bilion); barangan elektrik dan elektronik (-RM3.1 bilion); gas asli cecair (-RM2.5 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.2 bilion) dan barangan perkilangan lain (-RM1.2 bilion).
“Sementara itu, penguncupan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (-RM3.2 bilion); petroleum mentah (-RM3.1 bilion); arang batu (-RM1.1 bilion); kimia dan bahan kimia (-RM1.0 bilion) dan minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM890.7 juta),” ujarnya.
Prestasi bagi suku tahun ketiga 2023, jumlah dagangan, eksport dan import mencatatkan kemerosotan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Jumlah dagangan turun 15.7 peratus, selari dengan pengurangan eksport (-15.2 peratus) dan import (-16.3 peratus).
Lebihan dagangan berjumlah RM59.1 bilion, menyusut 9.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2022. – UTUSAN










