PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Behad (BPMB) meneruskan komitmennya terhadap inisiatif dapur jalanan (soup kitchen) yang dijalankan oleh Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) menerusi sumbangan berjumlah RM114,400.
Ia bagi membantu membiayai penyediaan makanan unt golongan kurang berkemampuan di Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Sumber Manusia BPMB, Datin Sainursalwa Sani berkata, inisiatif itu selari dengan misi Bank untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan impak sosial yang positif.
Beliau berkata, dalam memainkan peranannya sebagai rakan pembangunan negara, BPMB sedar akan kepentingan pembangunan inklusif dengan menyokong dan membantu anggota masyarakat yang kurang mendapat perhatian.
“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah sebahagian daripada identiti BPMB dan kami ingin terus menyokong komuniti terpinggir dan terjejas.
“Dalam kami meraikan tahun ulang tahun BPMB yang ke-50, kami berpegang kepada amanah untuk menyediakan modal berimpak untuk pembangunan negara bagi mengurangkan jurang perbezaan dalam masyarakat.
“Penglibatan kami dalam inisiatif soup kitchen PERTIWI mencerminkan komitmen kami ke arah tujuan ini dan meringankan penderitaan yang dialami oleh golongan ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selain menangani isu kemiskinan bandar yang mendesak di Kuala Lumpur, penglibatan BPMB dalam program soup kitchen PERTIWI bertujuan menggalakkan semangat sukarelawan dalam kalangan warga kerjanya.
Melalui inisiatif ini, warga kerja BPMB dapat berganding bahu dan memupuk hubungan kerja yang lebih kukuh dalam organisasi dan komuniti yang kurang mendapat perhatian, katanya.
Inisiatif itu akan dijalankan untuk tempoh satu tahun dan akan dilaksanakan setiap minggu sehingga Oktober 2024. Ia melibatkan penyediaan makanan untuk golongan miskin bandar bagi memastikan pemakanan golongan tersebut terpelihara. – UTUSAN










