PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) susut 0.3 peratus pada Ogos 2023 berikutan penurunan industri pembuatan berorientasikan eksport, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IPP kembali menyusut berbanding positif 0.7 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Kata beliau, kejatuhan pada Ogos 2023 disebabkan oleh penyusutan dalam sektor Pembuatan sebanyak 0.6 peratus berbanding negatif 0.2 peratus yang dicatatkan pada Julai 2023.
“Sebaliknya, sektor Perlombongan tumbuh marginal 0.1 peratus (Julai 2023: 4.2 peratus) manakala sektor Elektrik berkembang 1.9 peratus (Julai 2023: 1.5 peratus). Berbanding bulan sebelumnya, IPP meningkat 2.8 peratus berbanding pertumbuhan negatif 1.8 peratus yang direkodkan pada Julai 2023,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, kemerosotan pengeluaran Pembuatan dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan berterusan dalam industri berorientasikan eksport yang jatuh 2.6 peratus pada Ogos 2023 (Julai 2023: -2.7 peratus).
Penurunan terutamanya disebabkan oleh Pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-7.5 peratus); dan Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-3.8 peratus).
Beliau berkata, penyusutan turut digambarkan melalui prestasi eksport negara yang mengalami trend penurunan sejak Mac 2023 dan merekodkan kejatuhan 18.6 peratus pada Ogos 2023.
“Namun begitu, industri berorientasikan domestik terus berkembang walaupun pada kadar sederhana iaitu 4.2 peratus berbanding 6.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Peningkatan tersebut diterajui oleh Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan (7.2%); dan Pembuatan produk prosesan makanan (5.7 peratus). Perbandingan dengan bulan sebelumnya, pengeluaran sektor Pembuatan memulih kepada 5.1 peratus berbanding negatif 4.3 peratus yang dicatatkan pada Julai 2023,” jelas beliau.
Mohd. Uzir menambah, pengeluaran sektor Perlombongan tumbuh marginal sebanyak 0.1 peratus pada Ogos 2023 berbanding 4.2 peratus yang direkodkan pada Julai 2023, dipacu oleh momentum peningkatan 2.6 peratus dalam pengeluaran Gas Asli (Julai 2023: -0.8 peratus).
Sebaliknya, kata beliau, pengeluaran Minyak Mentah & Kondensat menyusut 3.3 peratus selepas merekodkan pertumbuhan kukuh 11.8 peratus pada Julai 2023.
Berbanding bulan sebelumnya, indeks Perlombongan jatuh 5.4 peratus berbanding positif 8.0 peratus yang dicatatkan pada Julai 2023.
Sementara itu, pengeluaran Elektrik terus meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 1.5 peratus bulan lalu. Berbanding bulan sebelumnya, indeks Elektrik meningkat 0.3 peratus berbanding 1.8 peratus pada Julai 2023.
Mohd. Uzir berkata, bagi lapan bulan pertama 2023, IPP meningkat pada kadar yang perlahan sebanyak 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya iaitu 7.3 peratus.
“Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks Pembuatan (1.2 peratus); indeks Perlombongan (0.2 peratus); dan indeks Elektrik (1.6 peratus),” jelas beliau. – UTUSAN










