PETALING JAYA: Jumlah import agromakanan dan hasil pertanian terpilih Malaysia pada 2022 meningkat kepada RM144.4 bilion daripada RM120.5 bilion tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, import makanan terkumpul Malaysia secara keseluruhan bagi tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022, berjumlah RM296.4 bilion, meningkat 31.8 peratus berbanding lima tahun sebelumnya (2013-2017) berjumlah RM224.9 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor pertanian penting bagi memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi.
Di samping itu, sektor pertanian juga memainkan peranan yang penting di dalam ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dan perolehan eksport.
“Perdagangan Malaysia telah menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah eksport agromakanan dan hasil pertanian terpilih negara meningkat daripada RM154.5 bilion pada 2021 kepada RM188.6 bilion pada 2022,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Indikator Pertanian Terpilih, Malaysia 2023.
Mohd. Uzir berkata, Malaysia telah mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1,510.9 bilion (RM1.5 trilion) pada 2022, meningkat 8.7 peratus berbanding RM1,390.6 bilion (RM1.4 trilion) pada 2021, dengan sektor pertanian mencatatkan peningkatan 0.1 peratus berbanding negatif 0.1 peratus tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kenaikan disumbangkan oleh komoditi kelapa sawit yang mencatatkan pertumbuhan 3.8 peratus berbanding negatif 5.6 peratus tahun sebelumnya.
“Kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pertanian dengan RM36.1 bilion atau 36.5 peratus. Ini diikuti pertanian lain berjumlah RM28.1 bilion (28.3 peatus) dan ternakan RM16.5 bilion (16.7 peratus),” katanya.
Ketua Perangkawan berkata, pengeluaran tanaman komoditi utama pada 2022 masih mencatatkan penurunan berbanding 2021 kecuali buah tandan segar (kelapa sawit) dan lada.
Pengeluaran buah tandan segar (kelapa sawit) merupakan yang tertinggi di antara komoditi pertanian iaitu sebanyak 94,814.5 tan metrik, meningkat 3,420.8 tan metrik atau 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia menunjukkan peningkatan 7.0 peratus pada 2022 di mana Pahang kekal sebagai pengeluar tertinggi dengan sumbangan 39.2 peratus, diikuti Johor (21.1 peratus) dan Kelantan (11.9 peratus).
Pada tempoh sama, pengeluaran buah-buahan turut meningkat 8.4 peratus.
Johor merupakan pengeluar tertinggi buah-buahan di Malaysia dengan sumbangan 42.2 peratus, diikuti Pahang (14.9 peratus) dan Sarawak (8.1 peratus).
Pengeluaran hasilan daging kambing/bebiri, telur ayam/ itik dan susu segar pula mencatatkan peningkatan masing-masing dengan 16.9, 3.5 dan 0.6 peratus.
Sebaliknya, daging babi, daging itik, daging ayam dan daging lembu/ kerbau masing-masing menurun dengan 7.9, 2.6, 2.5 dan 2.4 peratus. – UTUSAN









