TANJUNG MALIM: Syarikat milik Petronas, Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) meletakkan sasaran pemasangan 400 poin pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini.
Ketika ini, jumlah yang dipasang oleh syarikat itu adalah sebanyak 170 poin.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility Sdn. Bhd., Shah Yang Razalli, fokus syarikat kini adalah pemasangan stesen pengecas di lebuh raya kerana pengguna EV kini mahukan kemudahan bagi mereka melakukan perjalanan jarak jauh.
Katanya, tumpuan juga diberikan untuk penambahan stesen pengecas di laluan pantai timur Semenanjung Malaysia, Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak serta melancarkan infrastruktur yang sama di Sabah.
“Masa depan nampak baik. Kita bersungguh-sungguh menyokong pembangunan infrastruktur ini di sepanjang lebuh raya untuk pengguna,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran stesen pengecas pantas EV modular mudah di Hentian Sebelah Behrang Arah Utara, Perak di sini hari ini.
Pada majlis yang sama, Gentari dan EV Connection Sdn. Bhd. (EVC) bekerjasama dengan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia melancarkan stesen pengecas pantas EV modular mudah alih yang pertama di Malaysia.
Antara keunikan stesen pengecas itu adalah pemasangan mudah alih selain boleh dikuasakan oleh tenaga solar yang disokong oleh sistem penyimpanan tenaga bateri.
Tambah Shah Yang, selain pemasangan tersebut, antara lokasi lain bakal terlibat ialah Hentian Sebelah Behrang Arah Selatan di Perak, Hentian Sebelah Senawang Arah Utara dan Selatan di Negeri Sembilan, hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil Arah Utara dan Selatan serta R&R Perasing di Terengganu.
Dalam pada itu, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2024 berkenaan EV seperti cadangan melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV, kerana boleh menggalakkan lebih ramai pengguna EV. – UTUSAN










