PETALING JAYA: Gentari Sdn. Bhd. (Gentari), melalui anak syarikat penuhnya, Gentari International Renewables Pte. Ltd. memeterai perjanjian dengan AM Green BV (AM Green) untuk melabur bersama, secara berperingkat ke dalam platform ammonia hijau, AM Green Ammonia Holdings BV (AMG Ammonia).
AMG Ammonia ditubuhkan oleh pengasas Greenko, antara syarikat tenaga boleh diperbaharui terkemuka di India, dengan gabungan entiti pelaburan Singapura, GIC yang melabur dalam syarikat tersebut.
AMG Ammonia diunjurkan menghasilkan lima juta tan setahun (MTPA) ammonia hijau menggunakan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, ketika Gentari mengembangkan portfolio penyelesaian tenaga bersih di Malaysia, Asia Pasifik dan seterusnya, pihaknya percaya kepada kepentingan kritikal kerjasama peringkat industri yang digabungkan kekuatan pelengkap dan membuka kunci sinergi.
“Perkongsian dengan AM Green dan GIC ini ialah bukti komitmen kami dalam mempercepatkan penggunaan hidrogen hijau secara global untuk membuat impak dalam mengejar masa depan sifar bersih.
“Dalam OECD, ekonomi Asia Tenggara dan Timur, ammonia hijau akan menangani penyahkarbonan industri seperti penjanaan kuasa, melalui penembakan bersama, serta penghantaran,” katanya dalam kenyataan
Sementara itu, Pengasas, Kumpulan Greenko dan AM Green, Anil Chalamalasetty berkata, perkongsian strategik ini akan berusaha untuk mempercepatkan sasaran sifar bersih pelbagai industri dan beberapa ekonomi OECD.
“Tumpuan berterusan pada inovasi digabungkan dengan pelaksanaan akan memastikan usaha niaga kami, AM Green, kekal mendahului yang lain dalam menjadi platform penyelesaian peralihan tenaga bersih global,” ujarnya.
Lima MTPA ammonia hijau yang dihasilkan adalah bersamaan dengan kira-kira 1 MTPA hijau hidrogen, dan akan mewakili 20 peratus daripada sasaran India untuk pengeluaran hidrogen hijau pada 2030, atau 10 peratus daripada sasaran Eropah untuk hidrogen boleh diperbaharui yang diimport.
Saiz dan kapasiti ini akan meletakkan AMG Ammonia antara perintis dunia dalam skala besar dan kompetitif kos pengeluaran ammonia hijau.
Gentari dan AM Green kedua-duanya membawa keupayaan pelengkap merentasi rantaian nilai hidrogen hijau termasuk tenaga boleh diperbaharui, elektroliser pengeluaran ammonia dan keupayaan pemasaran.
Bagi Gentari, kerjasama kukuh dalam pasaran tumpuannya di Malaysia dan Asia Pasifik yang lebih luas akan menjadi penting untuk menyampaikan cita-cita globalnya sehingga 1.2 MTPA dalam hidrogen bersih menjelang 2030. – UTUSAN











