PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada kadar 3.3 peratus berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun 2023 (S3 2023).
Kementerian Ekonomi dalam kenyataan memaklumkan, kadar itu meningkat berbanding suku kedua tahun ini iaitu 2.9 peratus.
Katanya, anggaran prestasi mengikut sektor menunjukkan pertumbuhan disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan dengan aktiviti pelancongan menunjukkan pemulihan dan kemajuan pelaburan.
Ini termasuk pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan MyDIGITAL 5G.
“Anggaran awal KDNK menunjukkan kesan permintaan global yang lemah dalam tempoh tersebut, terutamanya eksport pembuatan, khususnya dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) dan segmen berkaitan industri primer.
“Berdasarkan prestasi semasa ekonomi dunia dan pencapaian separuh pertama tahun ini, ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.0 peratus pada tahun ini,” katanya semalam.
Menurut kementerian itu, anggaran yang dibentang dalam Belanjawan 2024 itu mengambil kira jangkaan pertumbuhan S3 2023 iaitu dalam lingkungan anggaran pertumbuhan ini.
Pada 2024 pula, ekonomi negara dijangka mencatatkan pertumbuhan antara 4.0 hingga 5.0 peratus, disokong oleh persekitaran luar yang semakin pulih dan jangkaan permintaan domestik yang lebih baik.
Katanya, indikator awalan seperti WSTS semiconductor sales menunjukkan kitaran teknologi akan meningkat semula dan berpotensi untuk memberi manfaat kepada eksport E&E Malaysia.
“Selain itu, keadaan pasaran buruh dijangka stabil. Tumpuan akan turut diberi untuk meningkatkan aktiviti pelaburan melalui pelaksanaan berterusan projek infrastruktur serta strategi dan inisiatif di bawah dasar utama kerajaan.
“Dalam hubungan ini, kerajaan akan terus memastikan ekonomi negara berkembang dan kesejahteraan rakyat akan terus diberi keutamaan dengan pelaksanaan strategi yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024, Kajian Separuh Penggal Rancangan
Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya.
Jelas Kementerian Ekonomi, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara bagi mengembangkan saiz dan mengembalikan ekonomi ke landasan yang sebenarnya.
Ekonomi akan distruktur semula bagi mempercepatkan peralihan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, katanya. – UTUSAN










