KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menilai beberapa polisi tambahan dalam pengendalian penipuan kewangan oleh institusi perbankan.
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, ia termasuk keperluan untuk institusi kewangan menjalankan lebih banyak penyiasatan, menerima pakai kawalan pencegahan yang lebih kukuh, dan mengkaji semula keberkesanan mekanisme yang dilaksanakan.
“Kami juga merancang untuk menjelaskan tanggungjawab pelanggan dalam melindungi diri dan hak mereka jika menjadi mangsa penipuan.
“BNM akan turut melibatkan pihak industri dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum kami memuktamadkan dasar ini,” katanya pada majlis pelancaran kempen #JanganKenaScam yang diperbaharui oleh bank-bank di bawah Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) di sini, semalam.
Kempen kesedaran scam di peringkat kebangsaan itu dilancarkan pada skala lebih besar daripada sebelumnya, bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai melalui pameran #JanganKenaScam Fest tidak hanya di kawasan bandar, malah di luar bandar.
Abdul Rasheed menambah, lima langkah utama yang diperkenalkan BNM tahun lalu untuk mengukuhkan tindak balas kepada penipuan telah diimplementasikan oleh semua bank utama dan pihaknya melihat penurunan 58 peratus dalam transaksi perbankan online tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh lima bulan lalu.
Jelasnya, sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu, NSRC telah menerima lebih 19,000 laporan mengenai kes penipuan, menyebabkan kepada pembekuan dana lebih RM60 juta dan mengenal pasti sebanyak 43,000 pemegang keldai akaun.
“Kami sedang bekerjasama secara aktif dengan PayNet dan industri kewangan untuk melancarkan Portal Fraud Kebangsaan (National Fraud Portal, NFP) menjelang pertengahan tahun depan, yang akan memanfaatkan rangka kerja dan asas yang telah dibina NSRC.
“NFP akan memperkemas tindak balas penipuan industri dari hujung ke hujung, daripada awal pengenalan dan pelaporan hingga kepada pemulihan dana serta meningkatkan kecekapan dengan mengautomasikan proses, membolehkan proses tindak balas yang lebih pantas membantu mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, BNM menjangka inflasi akan terus menurun didorong momentum kenaikan harga yang perlahan.
Abdul Rasheed berkata, Malaysia bernasib baik kerana tidak menghadapi cabaran inflasi yang teruk seperti yang dilihat dalam ekonomi lain.
“Selepas mencapai kemuncaknya pada separuh kedua 2022, inflasi teras terus menurun kepada 2.5 peratus pada Ogos tahun ini. Ini sejajar dengan harga komoditi global yang lebih rendah dan keadaan penawaran dan permintaan yang bertambah baik.
“Untuk jangka masa terdekat, kita harus sasar ke arah mengekalkan pertumbuhan jangka panjang, sambil meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun beroperasi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, dengan pelbagai halangan global, seperti kadar dasar yang tinggi, inflasi yang tinggi, perdagangan global yang menyederhana dan pemecahan geoekonomi, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, didorong oleh aktiviti berorientasikan domestik.
Jelasnya, keadaan pasaran buruh, terutamanya pekerjaan dan gaji, terus bertambah baik. Ini merupakan faktor penting yang menyokong keupayaan isi rumah untuk berbelanja.
“Sementara itu, pelaburan oleh kedua-dua sektor swasta dan awam masih akan kekal masuk. Faktor-faktor ini akan terus menyokong ekonomi Malaysia pada 2024.
“Selain itu, ekonomi juga akan mendapat manfaat daripada pemulihan beransur-ansur dalam kitaran teknologi dan pemulihan dalam permintaan luar,” katanya. – UTUSAN










