KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka inflasi akan terus menurun didorong momentum kenaikan harga yang perlahan.
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, pihaknya akan terus memantau potensi risiko terhadap prospek (kenaikan inflasi) yang timbul terutamanya daripada perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi bahan api.
Ujarnya, Malaysia bernasib baik kerana tidak menghadapi cabaran inflasi yang teruk seperti yang dilihat dalam ekonomi lain.
“Selepas mencapai kemuncaknya pada separuh kedua 2022, inflasi teras terus menurun kepada 2.5 peratus pada Ogos tahun ini.
“Ini sejajar dengan harga komoditi global yang lebih rendah dan keadaan penawaran dan permintaan yang bertambah baik.
“Ketika ekonomi Malaysia bangkit daripada wabak Covid-19, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank telah melaraskan dasar monetari secara beransur-ansur sejak Mei 2022, dengan mengambil kira prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
“Kini, Kadar Dasar Semalaman (OPR) berada pada tahap pra-pandemi sebanyak 3.0 peratus, dan dasar monetari kekal menyokong ekonomi.
“MPC kekal berwaspada dengan keadaan yang berubah dan kesannya terhadap inflasi domestik dan juga prospek pertumbuhan.
“Untuk jangka masa terdekat, kita harus sasar ke arah mengekalkan pertumbuhan jangka panjang, sambil meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran #JanganKenaScam di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun beroperasi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, dengan pelbagai halangan global, seperti kadar dasar yang tinggi, inflasi yang tinggi, perdagangan global yang menyederhana dan pemecahan geoekonomi, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, didorong oleh aktiviti berorientasikan domestik.
Jelasnya, keadaan pasaran buruh, terutamanya pekerjaan dan gaji, terus bertambah baik. Ini merupakan faktor penting yang menyokong keupayaan isi rumah untuk berbelanja.
“Sementara itu, pelaburan oleh kedua-dua sektor swasta dan awam masih akan kekal masuk. Faktor-faktor ini akan terus menyokong ekonomi Malaysia pada 2024.
“Selain itu, ekonomi juga akan mendapat manfaat daripada pemulihan beransur-ansur dalam kitaran teknologi dan pemulihan dalam permintaan luar.
“Pembaharuan struktur memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat ini dan kerajaan baru-baru ini telah melaksanakannya, dengan mengeluarkan Rangka Kerja Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.
“Di samping mengutarakan objektif ekonomi negara dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani, ia juga menekankan tadbir urus sebagai elemen utama dalam mengemudi pembaharuan yang diperlukan, merangkumi integriti, ketelusan, dan juga akauntabiliti,” katanya. – UTUSAN










