PUTRAJAYA: Bermula dari hanya sebuah impian dan angan-angan sejak tujuh tahun lalu, sekumpulan anak muda tempatan kini boleh mendabik dada apabila berjaya membina sebuah kereta konsep ‘Batmobile’.
Lebih membanggakan, kereta yang diinspirasikan daripada filem adiwira Batman itu menggunakan badan kereta Proton Wira keluaran tahun 1993.
Jentera enam tayar itu dipacu enjin VR4 Turbo dan dilengkapi sistem bukaan pintu secara hidraulik sepenuhnya selain diperkemas sistem audio dengan 13 unit speaker dan 30 paparan skrin.
Presiden Bambush Revamp Motorsport (BRM), Jai Prakash berkata, kereta seberat 1.2 tan itu sudah siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Disember ini sebelum didedahkan kepada umum.
Katanya, projek kereta konsep dengan modifikasi ekstrem itu boleh dianggap yang pertama dihasilkan di negara ini selain mendapat sentuhan mekanik tempatan sepenuhnya.
“Kereta ini akan dilancarkan pada Disember depan malah, setiap modifikasi dan sistem hidrauliknya akan dipertontonkan kepada orang ramai buat kali pertama,” katanya.
Katanya, kereta itu juga akan dibawa ke pameran automotif termuka dunia, Tokyo Auto Salon 2024 dijadual berlangsung di Amerika Syarikat pada Mac tahun depan.
Jai Prakash berkata, kereta itu mula dibina sejak lima tahun lalu menggunakan dana dan sumbangan oleh 147 ahli kelab dengan kos mencecah RM100,000.
Menurutnya, pihaknya masih memerlukan dana sekitar RM150,000 terutama bagi melengkapkan sistem audio dan beberapa modifikasi dalaman.
“Sebagai sebuah kelab permotoran, kami amat berbangga dengan kereta ini malah, kami tidak akan melepaskannya biarpun ada yang menawarkan sejumlah wang untuk memiliki jentera itu.
“Selepas beberapa gambar kereta ini tular di media sosial minggu lalu, ramai yang ingin membuat ulasan mengenai jentera itu termasuk ingin menjadikannya sebagai bahan promosi.
“Ketika ini, kami terpaksa menolak semua permintaan itu kerana kereta belum siap sepenuhnya,” katanya.
Katanya, secara keseluruhannya, empat mekanik tempatan terdiri daripada pelbagai kaum terbabit secara langsung dalam menghasilkan jentera itu selain sumbangan idea oleh semua ahli kelab. – UTUSAN










