PETALING JAYA: Airbnb hari ini mengumumkan ia telah bekerjasama dengan PLANMalaysia, untuk berkongsi input industri dan amalan terbaik global tentang garis panduan penginapan sewaan jangka pendek (STRA) nasional melalui perundingan awam.
PLANMalaysia telah mula membangunkan garis panduan STRA nasional pada awal tahun ini, untuk mewujudkan satu pendekatan seragam untuk mengurus STRA di seluruh negara.
Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dr. Alias Rameli berkata, di Malaysia, aktiviti sewaan jangka pendek adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Katanya, sejak Januari tahun ini, PLANMalaysia telah diamanahkan untuk menggubal Garis Panduan Perancangan Penginapan Sewaan Jangka Pendek sebagai sumber rujukan yang seragam bagi semua pihak terlibat dalam ekosistem STRA.
“PLANMalaysia telah menjalankan satu siri perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan persekutuan, pihak berkuasa negeri dan tempatan, platform pelancongan dalam talian, pengusaha hotel, dan persatuan hos.
“Di samping itu, satu tinjauan dalam talian dari Mei hingga Jun 2023 telah dijalankan bagi mengumpul pandangan orang ramai, pihak berkepentingan industri dan pemilik bangunan.
“PLANMalaysia juga telahmenganjurkan dua perbincangan kumpulan fokus.
“Kami telah menyelesaikan Perundingan Awam Bersepadu (UPC) untuk draf garis panduan pada September tahun ini, dan tidak sabar untuk membentangkannya kepada pihak berkuasa yang relevan pada hujung tahun ini,” kongsi Dr. Alias.
Cadangan Airbnb untuk garis panduan STRA nasional Sebagai sebahagian daripada perundingan awam PLANMalaysia, Airbnb telah berkongsi beberapa cadangan penting untuk garis panduan STRA nasional, berlandaskan amalan terbaik dan peraturan yang digunapakai secara berkesan oleh pihak berkuasa negara-negara di seluruh dunia, yang telah berjaya membantu memacu ekonomi pelancongan tempatan di seluruh dunia:
● Membenarkan STRA secara automatik di semua bangunan strata: Airbnb mencadangkan agar penghuni harus boleh membuat keputusan secara kolektif dengan undian 75 peratus melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan mereka, sekiranya sebarang syarat atau sekatan berkaitan STRA perlu dilaksanakan berdasarkan Akta Pengurusan Strata Malaysia 2013 (SMA 2013).
● Memperkenalkan portal pendaftaran dalam talian peringkat nasional untuk pengendali STRA: Bagi memudahkan ini, Airbnb mencadangkan yang ini harus mengandungi satu borang tunggal yang mengumpul maklumat daripada pengendali STRA untuk proses-proses berkaitan dengan pelbagai agensi, seperti KPKT, MOTAC, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA). Apabila dilaksanakan dengan cekap, pendaftaran ini akan memberikan pihak berkuasa kerajaan satu gambaran komprehensif dan berasaskan data tentang aktiviti-aktiviti STRA di negara, serta menyokong kawal selia dan penggubalan dasar yang berkesan.
● Mencipta daftar pengecualian untuk pengendali dan tetamu STRA yang tidak mematuhi Tatakelakuan Industri. Bekerjasama dengan kerajaan untuk mewujudkan dan mengekalkan daftar pengecualian nasional akan membantu mengurangkan isu berkaitan bunyi bising dan gangguan. Dengan berkongsi maklumat dan usaha menyelaras, pendekatan kerjasama ini akan membantu mempromosikan amalan pengehosan yang bertanggungjawab dan membantu melindungi kepentingan usahawan STRA dan ekonomi pelancongan.
Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh, berkata, mereka teruja untuk bekerjasama dengan PLANMalaysia dalam memberikan maklum balas semasa perundingan industri bagi garis panduan nasional untuk STRA.
Katanya. apabila diluluskan, garis panduan ini akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, sekali gus menonjolkan dinamisme Malaysia dalam menerima teknologi dan inovasi dalam industri pelancongan.
“Menurut laporan Oxford Economics baru-baru ini, Airbnb menyumbang lebih RM5 bilion kepada KDNK Malaysia dan menyokong hampir 57,000 pekerjaan pada tahun 2022 ,* katanya.
STRA menyediakan pelbagai penginapan untuk pelbagai jenis pelancong dan merupakan sumber pendapatan penting untuk ramai rakyat Malaysia melalui pengehosan. Industri ini perlu dikawal selia secara seimbang dan cekap, disebabkan peranan pentingnya dalam pelancongan dan pertumbuhan ekonomi.
Persatuan Industri Teknologi Pengembaraan Asia (ATTIA), yang mewakili syarikat-syarikat teknologi pelancongan dan pelancongan di Asia Pasifik, mengalu-alukan langkah kerajaan Malaysia untuk membangunkan garis panduan nasional untuk STRA.
Pengarah Urusan ATTIA, Chris Kerin, berkata STRA telah menjadi sebahagian penting landskap pelancongan Malaysia.
Ia menarik pelbagai jenis pelancong seperti warga nomad digital dan memenuhi pelbagai keperluan mereka, di samping menyebarkan pelancongan ke destinasi-destinasi baharu dan memacu hasil perniagaan tempatan.
ATTIA telah menyediakan beberapa cadangan dasar yang komprehensif untuk draf garis panduan STRA semasa perundingan awam tersebut. Kami berazam untuk membantu membangunkan rangka kerja kawal selia yang seimbang dan inklusif, yang mampu memenuhi kepentingan kerajaan dan industri pelancongan. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan KPKT dan pihak berkepentingan untuk membentuk ekosistem STRA. – UTUSAN











