PETALING JAYA: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad (Kumpulan UMW), Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali dijadual menamatkan penggal tiga tahun beliau pada 31 Oktober ini.
Menurut syarikat itu, beliau juga akan berhenti menjadi Pengarah Eksekutif UMW Holdings Berhad pada tarikh yang sama.
Jelasnya, Ahmad Fuaad menyertai Kumpulan UMW pada 1 November 2020, semasa persekitaran perniagaan yang mencabar akibat pandemik Covid-19.
“Beliau memperkenalkan rangka kerja transformasi strategik CREST@UMW pada Januari 2021 untuk memacu aspirasi Kumpulan UMW untuk mengeksploitasi sepenuhnya peluang dalam ruangan mobilitinya melalui pelbagai perniagaan Kumpulan.
“Pelaksanaan rangka kerja strategik CREST@UMW telah mengukuhkan prestasi kewangan UMW dengan ketara dan menunjukkan peningkatan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Kumpulan sebagai salah satu daripada lima tonggak utama CREST@UMW,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Lembaga Pengarah UMW Holding ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Fuaad atas kepimpinan dan sumbangan beliau yang tidak ternilai.
“Di bawah kepimpinannya, Kumpulan UMW mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan daya tahannya semasa pandemik Covid-19. Hasilnya, Kumpulan dapat pulih dengan pantas dan mencatatkan hasil dan keuntungan tertinggi sebelum cukai dalam tempoh lapan tahun terakhir pada 2022,” katanya.
UMW turut memberitahu bahawa, pada 24 Ogos 2023, Sime Darby Berhad (SDB) mengumumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk mengambil alih sebanyak 61.2 peratus kepentingan PNB dalam UMW Holdings.
“Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada pertengahan November 2023,” jelasnya.
Jelasnya lagi, bagi memastikan kestabilan dan kesinambungan operasi Kumpulan UMW dalam tempoh peralihan ini, Presiden Bahagian Peralatan UMW, Megat Shahrul Azmir Nordin telah diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Bertanggungjawab atau Office-in-charge (OIC) Kumpulan UMW. Beliau telah berkhidmat dengan Kumpulan UMW sejak 2012.
Jawatankuasa Pemantauan Lembaga Pengarah sementara (BOC) juga telah ditubuhkan untuk memberi panduan kepada OIC, berkuat kuasa 1 November 2023.
BOC terdiri daripada tiga Pengarah Bukan Eksekutif yang kini menganggotai Lembaga Pengarah UMW Holdings iaitu, Razalee Amin yang akan berkhidmat sebagai Pengerusi BOC, Mohd Shahazwan Mohd Harris dan Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood.
“BOC akan dikekalkan sehingga Lembaga Pengarah memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa tersebut,” katanya. – UTUSAN










