PETALING JAYA: Wasiyyah Shoppe Berhad berjaya menyelesaikan kes harta pusaka berjumlah lebih RM700 juta sejak 2004.
Wasiyyah Shoppe merupakan syarikat amanah patuh syariah yang berkepakaran dalam penyediaan dan pelaksanaan hibah, wasiat, pengurusan harta pusaka dan pengurusan harta amanah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin, sehingga 31 Disember 2022, nilai harta pusaka yang berjaya diuruskan oleh syarikat itu sehingga ke tahap waris menerima hak mereka berdasarkan dokumen perancangan yang telah dibuat dan hukum syarak melebihi RM700 juta.
“Harta pusaka ini terdiri daripada hartanah dan harta alih seperti saham syarikat, wang tunai di akaun bank, akaun pelaburan saham amanah, kenderaan, saham koperasi dan pelbagai bentuk harta pusaka yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sejah 2004, syarikat telah membantu lebih 80,000 umat Islam merancang harta mereka melali kaedah hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 750 daripada pelanggan telah meninggal dunia dan proses perundangan menuntut harta pusaka mereka di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil telah berjaya dibantu urus oleh Wasiyyah Shoppe sehingag waris-waris menerima bahagian mereka.
“Perkhidmatan Wasiyyah Shoppe bersifat komprehensif. Kami membantu daripada peringkat pelanggan mula membuat dokumen perancangan harta mereka seperti hibah, wasiat dan amanah semasa hidup.
“Apabila mereka meninggal dunia, kami membantu pula waris-waris melalui semua proses perundangan yang berkenaan sehinggalah ke tahap harta pusaka itu didaftarkan secara rasmi di atas nama waris-waris. Sebagai Syarikat amanah berdaftar, Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan tugasan tersebut,” jelasnya.
Menurut Ariffin, apa yang lebih unik dan membuatkan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe mendapat sambutan baik masyarakat ialah kerana waris-waris dibantu melalui proses perundangan tuntutan harta pusaka tanpa terbeban dengan fi perkhidmatan.
“Kami faham bahawa faktor fi perkhidmatan menyebabkan ramai waris yang menangguhkan urusan harta pusaka. Waris bimbang mereka akan dikenakan pelbagai fi perkhidmatan yang tidak dapat dikenalpasti nilainya. – UTUSAN










