Volvo XC60 Recharge T8 – SUV serba lengkap

Volvo XC60 Recharge T8 – SUV serba lengkap

VOLVO XC60 memiliki serba lengkap keperluan pemanduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA berupaya memandu uji beberapa model kenderaan SUV daripada Volvo dan terus terang, jenama ini memberikan sedikit kebingungan pada saya. Sama ada model-model SUV hibrid (berkeupayaan menggunakan kuasa elektrik (bateri) dan bahan bakar konvensional (petrol), atau pun model-model elektrik (EV) sepenuhnya, Volvo membekalkan banyak persamaan fungsi dan keupayaan antara modelnya.

Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan, sekiranya anda perlu memilih salah satu model yang diperkenalkan sama ada model-model hujung tahun 2022 atau model-model yang dilancarkan untuk 2023, anda hanya perlu memilih model yang bersesuaian dengan bajet anda. Ini kerana, sama ada SUV XC40, XC90, XC60 atau pun versi 100 peratus elektrik C40, keupayaan, pengendalian dan sistem infotainment hampir serupa di antara model-model tersebut.

Kalau begitu, apa seronoknya model XC60 ini berbanding yang lain? Ayuh kita teliti model terbaharu daripada Volvo ini.

KONSOL papan pemuka yang mempamerkan informasi kenderaan.

REKA BENTUK FIZIKAL

Ia sebuah SUV (kenderaan utiliti sukan), berkonsepkan kenderaan pacuan empat roda yang mempunyai roda besar, ruang kelegaan antara lantai kabin kenderaan dengan permukaan bumi agak tinggi, tampak rugged dan lasak. Akibat peredaran zaman dan selera masyarakat, SUV mula berubah sedikit daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang lasak untuk digunakan dalam laluan-laluan berbatuan, tanpa tar, serta berliku-liku, ia kini lebih digunakan untuk kegunaan urban atau atas jalan raya yang rata, bertar dan dalam kawasan bandar.

Makin menjadi trend masakini dan model seumpama ini tidak lagi terhad pada jenama-jenama dari Eropah, malah Proton dan Perodua juga telah menghasilkan SUV untuk pasaran tempatan de­ngan harga yang jauh lebih murah. Oleh demikian, seperti jenama Eropah lain, Volvo memastikan model-model SUV mereka mempunyai keupayaan teknologi ter­tinggi, sama ada dari segi penggunaan kuasa dan bahan api, pengendalian atau pemanduan, sistem keselamatan jalan raya dan bantuan elektronik untuk pengurusan enjin, dan kebolehan untuk memindahkan keupayaan perhubungan alat peranti dengan sistem infotainment dalam kereta.

XC60 2023 tampak lebih teguh, tetapi sporty. Namun ia tidak keterlaluan dalam pengaruh sporty atau elemen perlumbaan. Ia lebih ke arah pemandu yang matang atau matured, Penggabungan elemen ini sedikit membuatnya le­bih menyerlah berbanding ‘Abang Longnya’ XC90 yang tampak lagi besar ( dan mempunyai 7 tempat duduk). XC60 masih menginginkan elemen kelajuan di samping masih menarik perhatian orang tua atau mertua. XC60 seolah-olah ditujukan pada mereka yang mempunyai keluarga kecil dalam bilangan empat atau lima orang.

RUANG bumbung panoramik pasti menyukakan anak-anak.

PRESTASI DAN PEMANDUAN

XC60 diklasifikasikan sebagai ‘Abang Ngah’ dalam kategori SUV Volvo, kerana mempunyai saiz yang sederhana besar, dan sudah tentu, berkonsepkan hibrid (menggunakan dua punca kuasa enjin, petrol dan bateri) dan diperbaharui untuk model 2023 dengan bateri yang berkapasiti lebih tinggi iaitu 18.8kWh yang membolehkan anda memandu sehingga jarak 81 km dengan hanya menggunakan kuasa bateri 100 peratus.

Berbalik pada enjin konvensional yang bertindak sebagai pemacu utama kenderaan ini didatangkan dengan 2.0 liter turbo yang memberikan kuasa maksimum 317PS pada kadar 6,000rpm dan 400Nm pada kadar 5,400rpm. Tidak cukup dengan itu,

XC60 berkebolehan untuk menggunakan keempat-empat roda serentak dengan mempunyai rotor elektrik pada roda belakang.

Sehubungan dengan kelengkapan ini, XC60 boleh memecut 0 ke 100kmj dengan hanya pada jarak masa 4.8saat, serta mampu dipandu selaju 180 kmj dengan hanya menggunakan bahan api serendah 1.6liter untuk setiap 100 km.

Tidaklah lengkap satu kenderaan hasil daripada rekaan Volvo sekiranya tidak dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan elektronik, sama ada dari segi sensor-sensor khas parkir, pengesan halangan di h­adapan, bantuan pemberhentian, dan kamera 360°. Namun, disebalik bantuan berteknologi ini, XC60 turut dilengkapi corong-corong speaker yang lengkap dengan Twitter dan sistem bunyi bass yang begitu baik untuk sistem hiburan dalam kabin.

IDENTITI Volvo dengan rekaan lampu LED Thor’s Hammer.

KESIMPULAN

XC60 cukup sempurna setelah mengujinya hampir seminggu. Karektor enjinnya yang agak cukup memuaskan dari segi daya tujahan, kelajuan maksimum serta pemanduan yang lembut tanpa sedikit pun ada kesan senggut atau tersekat-sekat.

Ternyata kebolehan hibrid ini sangat mengujakan kerana bagi saya, inilah kenderaan yang mempunyai dua kebolehan untuk memacu kenderaan anda, sistem elektrik bersama enjin konvensional. Ini memandangkan sistem infrastruktur dalam negara,

walau sudah banyak diwujudkan stesen-stesen pengecas komersial namun masih lagi dalam jumlah yang kecil. Pantai Timur khasnya, mungkin akan mempunyai stesen pengecas elektrik yang memadai dalam tempoh 10 tahun lagi.

Maka sementara itu, bagi menenangkan hati pemandu se­perti saya yang begitu risau bateri kereta EV 100 peratus akan kehabisan tenaga di tengah jalan, penggunaan kereta hibrid adalah satu pilihan yang terbaik sekurang-kurangnya untuk tempoh sedekad ini. Harga jualan tanpa cukai jalan dan insu­rans adalah sekitar RM 355,888. Tanda harga yang semakin lumrah untuk kenderaan masa kini. Begitupun, versi pasaran Asia sering mengecewakan apabila penggunaan roda yang tidak sama dengan model-model pasaran Eropah. Rekaan yang berbeza dan buruk, serta menggunakan sasaiz lebih kecil berbanding model-model Eropah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN