Tidak sesuai desak majikan naikkan gaji kerana kos sara hidup tinggi - Utusan Malaysia

Tidak sesuai desak majikan naikkan gaji kerana kos sara hidup tinggi

MENDESAK majikan menaikkan gaji berikutan kenaikan kos sara hidup semasa dilihat tidak relevan kerana majikan juga berdepan masalah sama selepas penularan Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mendesak majikan menaikkan gaji pekerja berikutan peningkatan kos sara hidup semasa bukanlah langkah yang sesuai, malah akan meningkatkan lagi kadar inflasi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sebaliknya, kerajaan perlu mengambil langkah sesuai kerana majikan turut berdepan bebanan yang sama dalam isu kos sara hidup.

“Sekarang juga bukanlah masa yang sesuai untuk meningkatkan gaji ke tahap yang lebih tinggi kerana kebanyakan majikan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih bergelut untuk memulihkan perniagaan mereka yang terjejas teruk oleh Covid-19.

“Keadaan ekonomi dunia yang merudum juga membimbangkan terutamanya kesan daripada konflik di Ukraine. Ekonomi dunia juga dalam fasa tidak menentu yang dikaitkan dengan isu-isu berkaitan rangkaian bekalan,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, majikan di Malaysia juga terpaksa menanggung kos pinjaman yang melonjak akibat peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus pada Mei 2023.

“Kebanyakan majikan tidak mampu untuk membuat pinjaman baharu sebagai modal pusingan kerana kosnya yang terlalu tinggi.

“Jadi, bagi menangani perkara ini, sebaiknya kerajaan hendaklah mewujudkan prasarana yang mesra pelabur agar dapat menarik pelabur-pelabur luar dan dalam negara.

“Pelabur besar akan membawa teknologi baharu dan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi untuk lepasan graduan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, JobStreet Malaysia menyarankan majikan mempertimbangkan semula tahap gaji berikutan kos sara hidup semakin meningkat selain menjadikannya sebagai sebahagian daripada strategi menarik tenaga kerja berkualiti.

Panduan Gaji 2023 JobStreet mendapati sebanyak 97.3 peratus daripada penyenaraian pekerjaan menawarkan tahap gaji yang serupa dengan tahun lepas, dengan industri komputer dan teknologi maklumat (IT) menyaksikan kenaikan gaji tertinggi, meningkat 28 peratus daripada RM3,750 kepada RM4,800.

Mengulas mengenai rasionalisasi kenaikan gaji, Syed Hussain menegaskan, secara amnya, MEF menyokong agar gaji teutamanya gaji graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkelayakan Diploma dan Ijazah ditingkatkan kerana ia berdasarkan kecekapan teknikal.

Ujarnya, graduan yang memilih untuk jurusan akademik pula perlu memastikan mereka mempunyai kemahiran dan ciri-ciri semasa yang diperlukan di pasaran kerja agar mereka berupaya untuk mendapat gaji yang lebih tinggi.

“Berdasarkan Tinjauan Gaji MEF untuk Eksekutif dan Bukan Eksekutif 2022, gaji pokok minimum tanpa pengalaman kerja bagi pemegang Diploma ialah RM1,936, dan RM2,805 bagi Pemegang Ijazah Kepujian.

“Oleh itu, tiada halangan untuk meningkatkan gaji graduan jurusan akademik dan TVET sekiranya mereka mempunyai kelayakan yang diiktiraf, terutama kepada mereka yang telah menjalani latihan kemahiran di sepanjang proses pembelajaran mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya