PETALING JAYA: Scientex Bhd., pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM438.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023.
Pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah terkemuka itu dalam satu kenyataan berkata, ia juga turut mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM4.08 bilion, dirangsang oleh peningkatan prestasi bahagian hartanahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin, berkata segmen hartanah kumpulan memacu pertumbuhan utama, meningkat sebanyak 29.1 peratus kepada RM1.45 bilion bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM1.12 bilion sebelum ini.
Menurut beliau, peningkatan tersebut didorong oleh kadar pengambilan yang kukuh bagi pelancaran baharu serta jualan yang lebih tinggi serta turut disokong oleh kemajuan pembinaan yang stabil dalam projek yang sedang berjalan.
“Bahagian hartanah yang teguh mengurangkan prestasi segmen pembungkusan yang terus menyaksikan permintaan global yang lebih perlahan ditambah dengan kos operasi yang lebih tinggi.
“Pendapatan pembungkusan berkurangan 8.2 peratus kepada RM2.63 bilion bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM2.86 bilion setahun lalu,” katanya.
Ujarnya, Scientex turut mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM114.9 juta daripada hasil RM 1.07 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2023 berbanding RM125.0 juta untung bersih daripada RM1.11 bilion pendapatan pada suku sama tahun sebelumnya.
“Penurunan dalam keuntungan bersih pada suku tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kos operasi, terutamanya kos tenaga yang lebih tinggi di samping kemerosotan nilai muhibah sebanyak RM22.7 juta berhubung dengan operasi di Myanmar.
“Segmen hartanah terus menunjukkan prestasi yang menggalakkan pada suku keempat dengan lebih tinggi pengebilan kemajuan daripada projek yang sedang dijalankan di Melaka, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Mengulas lanjut, Peng Jin berkata, pihaknya optimis dengan prestasi prestasi positif sektor hartanah yang akan terus mendapat momentum dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Julai 2024.
Ujar beliau, Scientex juga bakal meraih manfaat daripada strategi sedia ada seperti sebagai pembelian pukal, mengoptimumkan penggunaan tanah dan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk mengekalkan kemampuan dan daya saing rumah.
“Memandangkan jangkaan permintaan kukuh untuk rumah mampu milik, kami sudah bersedia untuk merebut peluang ini,” katanya. – UTUSAN