PETALING JAYA: Prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal menyederhana dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan 109.0 mata pada Julai 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Indeks Pelopor merupakan alat yang digunakan untuk meramalkan pergerakan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IP pada Julai 2023 menjangkakan prestasi ekonomi kekal menyederhana dengan negatif lebih baik iaitu 0.9 peratus, mencatatkan 109.0 mata berbanding negatif 2.1 peratus pada Jun.
Kata beliau, peningkatan dipacu oleh pertambahan ketara dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan iaitu sebanyak 200.8 peratus.
Bagaimanapun katanya, penurunan berterusan dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain sebanyak -24.3 peratus dan import benar semi konduktor -17.4 peratus, mempengaruhi pertumbuhan keseluruhan.
“Melihat kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 0.7 peratus pada bulan rujukan berbanding negatif 0.5 peratus pada bulan sebelumnya. Penurunan ini disebabkan oleh penyusutan dalam semua komponen kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.1 peratus) dan Jangkaan Nilai Jualan, Pembuatan (0.1 peratus)”.
“Kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Julai 2023 masih kekal di bawah trend 100.0 mata, mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia terus menyederhana dalam masa terdekat disebabkan oleh prospek global yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Julai 2023.
Menurut Mohd. Uzir, dari segi keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatka 123.5 mata pada bulan dikaji, meningkat 2.2 peratus berbanding 120.8 mata bulan sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kecenderungan ini disumbangkan oleh semua komponen IS terutamanya Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 15.5 peratus.
Pada masa yang sama, katanya, prestasi bulanan IS turut tumbuh sebanyak 0.2 peratus berbanding negatif 0.9 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.3 peratus). – UTUSAN










