KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan lebih 150,000 pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 bertempat di Bertam, Pulau Pinang bermula 30 September hingga 8 Oktober ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, bertemakan ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’, MSAM 2023 bukan sahaja menyasarkan kehadiran pengunjung dari seluruh Pulau Pinang malah juga negeri-negeri berhampiran iaitu Kedah, Perlis dan Perak.
“Selari dengan mandat PNB untuk mempertingkatkan kehidupan seluruh rakyat Malaysia demi kemakmuran negara, acara perdana ini juga merupakan tumpuan teras Sosial Rangka Kerja Kelestarian PNB dalam meneruskan komitmennya ke arah membiayai pendidikan, peningkatan komuniti, literasi kewangan dan inisiatif perkongsian pengetahuan.
“MSAM yang diangkat sebagai acara tahunan sejak diperkenalkan pada 2000 bakal menawarkan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik buat pengunjung,” katanya pada Majlis Jalinan Rakan Korporat MSAM 2023 di Menara PNB di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, selaras dengan aspirasi PNB untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, MSAM 2023 akan dianjurkan secara hibrid buat pertama kalinya.
“Pengunjung MSAM 2023 boleh melawat gerai pameran di Bertam dan juga menikmati kandungan digital secara langsung melalui halaman Facebook dan YouTube MingguSahamAmanahMalaysia.
“Elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) akan diterapkan dalam gerai pameran, aktiviti serta kandungan dan matlamat kami adalah bagi memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar ilmu pengetahuan dan pendidikan yang lebih tinggi.
“Kami berharap para pengunjung dan penonton akan mendapat inspirasi serta dipenuhi dengan pengetahuan dan pembelajaran baharu apabila meninggalkan acara ini,” katanya.
Antara rakan korporat MSAM 2023 ialah Maybank, Sime Darby Plantation Berhad, UMW Holdings Berhad, S P Setia Berhad, Sime Darby Property Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Perodua, MNRB Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad.
MSAM 2023 bakal menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran melibatkan kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.
Selain itu, pengunjung yang mendaftar dengan PNB Events App berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1.4 juta, dengan hadiah utama termasuk rumah teres di Setia Fontaines, Pulau Pinang; BYD Atto 3 Standard Range dan Toyota Vios 1.5G AT. – UTUSAN










