PETALING JAYA: RAM Ratings telah mengekalkan penarafan kredit korporat AA3 Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) dan penarafan jangka pendek P1 dengan prospek yang stabil.
Penarafan turut merangkumi Program Kertas Komersial Konvensional dan Islam/Nota Jangka Sederhana RM2.0 bilion MDV yang diterbitkan pada 2022.
Penarafan itu bukan sahaja memperlihatkan asas MDV yang kukuh dengan didokong oleh sokongan kukuh Kerajaan, tetapi juga peranan strategiknya sebagai pembiaya teknologi utama Malaysia, jelas MDV dalam kenyataan.
“Ia turut menekankan sumbangan MDV dalam meningkatkan ekonomi negara, selaras dengan matlamat Malaysia untuk membangunkan sektor teknologinya, serta menyokong perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, penarafan membuktikan dedikasi sepenuhnya MDV terhadap pelaksanaan mandatnya dan kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pihak berkepentingan serta Kerajaan.
“Selain itu, penarafan AA3 ini meningkatkan keupayaan MDV untuk memanfaatkan dana luaran dan mengukuhkan lagi peranannya pentingnya dalam mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi negara.
“Pengekalan penarafan bagi program sukuk/bon MDV bernilai RM2.0 bilion ini terutamanya adalah penting memandangkan dana yang diraih melalui program ini berupaya memastikan yang MDV dapat terus menyokong keperluan pembiayaan syarikat teknologi tempatan yang berpotensi tinggi, seperti dalam sektor ICT dan Komunikasi.
“Apatah lagi Malaysia kini sedang berada di tahap genting bagi transformasi digital dan tenaga, serta memerlukan sektor teknologi yang pesat serta disokong rapi bagi mencapai objektif Ekonomi Madani. Dalam hal ini, MDV komited untuk terus memainkan peranan penting bagi merealisasikan sasaran Kerajaan ini,” katanya.
Tambah beliau, sebagai pembiaya teknologi utama negara, pengekalan penarafan kredit korporat MDV akan terus menjadi asas penting untuk Syarikat terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, inovasi, serta kemajuan yang diterajui teknologi untuk Malaysia.
MDV telah ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai anak syarikat kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dengan objektif untuk menyediakan kemudahan pembiayaan fleksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor ICT yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara. – UTUSAN










