Maybank IB positif terhadap sektor perbankan - Utusan Malaysia

Maybank IB positif terhadap sektor perbankan

Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap sektor perbankan dengan menyaksikan pulangan ke atas deposit bertambah baik pada Julai. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap sektor perbankan dengan menyaksikan pulangan ke atas deposit bertambah baik pada Julai, didorong oleh inflasi teras yang terus menyederhana kepada 2.0 peratus berbanding 2.4 peratus pada Jun.

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan tersebut adalah positif kerana ia melegakan tekanan untuk kenaikan kadar faedah.

Katanya, pertumbuhan pinjaman terus menyederhana pada Julai kepada 4.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh permintaan pinjaman bukan isi rumah yang lebih lemah.

“Permohonan pinjaman menguncup tahun ke tahun untuk bulan kedua. Apa yang perlu kita lihat ialah peningkatan dalam aktiviti perniagaan untuk menyokong permintaan pinjaman perniagaan.

“Kami kekal positif dalam sektor perbankan,” katanya dalam nota penyelidikan di sini semalam.

Baru-baru ini, Maybank IB juga telah menyemak naik saranan ‘beli’ kepada Public Bank Berhad dan menyemak turun saranan ‘pegang’ terhadap AMMB Holdings Berhad.

“Saranan ‘beli’ kami adalah untuk CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank Berhad, Hong Leong Financial Group Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad, mengikut turutan keutamaan,” ujarnya.

Firma berkata, pertumbuhan pinjaman industri terus menyederhana kepada 4.2 peratus tahun ke tahun pada Julai daripada 4.4 peratus pada Jun, dipacu terutamanya dalam pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah yang lebih perlahan sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun berbanding tiga peratus pada Jun.

Tambahnya, pertumbuhan pinjaman isi rumah adalah stabil pada 5.4 peratus tahun ke tahun.

“Permohonan pinjaman menguncup 6.3 peratus tahun ke tahun pada Julai dan kemerosotan lebih ketara dalam segmen bukan isi rumah, dengan permohonan pinjaman modal kerja dan pembinaan masing-masing menguncup 19 peratus dan 61 peratus tahun ke tahun.

“Sementara itu, pertumbuhan deposit perlahan kepada 3.5 peratus tahun ke tahun pada Julai daripada 3.9 peratus pada Jun.

“Akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) menguncup untuk bulan ketujuh berturut-turut, penguncupan adalah 4.2 peratus tahun ke tahun, tidak berubah dari Jun lalu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN