SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) terus menyumbang kepada perkembangan perniagaan dalam perbandaran syarikat menerusi pejabat kedai Laman Idaman di Bukit Jelutong.
Kadar pengambilan 85 peratus ini membuktikan permintaan tinggi bagi unit ruang runcit dan pejabat yang berkualiti seiring dengan kemajuan ekonomi semasa di dalam negara.
Terletak di perbandaran Bukit Jelutong, Laman Idaman menyediakan keterlihatan tiada tandingan dari persimpangan Lebuhraya Koridor Guthrie-Bukit Jelutong yang mempunyai aliran trafik tinggi serta pelanggan tetap.
Bukan itu sahaja, Laman Idaman juga mudah diakses menerusi dua laluan masuk dan keluar selain turut turut menyediakan 264 ruang letak kereta berhadapan kedai bersama tanjakan dan tempat letak kereta khas bagi golongan yang memerlukan.
Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan Perbandaran) Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, dengan harga bermula daripada RM1.69 juta, Laman Idaman mempunyai enam saiz lot daripada 22’x70’ hingga 40’x70’ dan keluasan binaan daripada 3,079 kaki persegi hingga 6,914 kaki persegi.
Menurut beliau, pejabat kedai dua dan tiga tingkat Laman Idaman direka untuk menawarkan ruang terbuka yang berfungsi dengan tingkap lebih besar selain membolehkan perniagaan memaksimumkan penjenamaan dan paparan produk bagi menarik perhatian pelanggan.
“Komuniti perniagaan kini semakin arif. Ruang runcit dan pejabat berkualiti di lokasi-lokasi utama mendapat permintaan tinggi demi pertumbuhan dan kejayaan perniagaan dalam jangka masa yang panjang.
“Sejajar dengan matlamat syarikat sebagai pengganda nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet, Sime Darby Property menyediakan keterlihatan maksimum dan seterusnya membuka ruang untuk pertumbuhan ekonomi dan pertambahan pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, ruang komersial Laman Idaman merupakan destinasi ideal bagi komuniti bekerja, tinggal dan bersantai.
Leong berkata, lebih menarik pembangunan berkenaan terletak bersebelahan dengan 1,260 unit Pangsapuri Idaman Bukit Jelutong selain berada di lokasi yang bakal didiami 131,000 orang penduduk di Bukit Jelutong menjelang 2025.
“Dengan warisan selama 28 tahun, Bukit Jelutong dikenali sebagai pameran landskap kejiranan dan perancangan perbandaran yang baik.
“Ia juga dikelilingi kehijauan sepanjang 2,200 ekar tanah pegangan bebas, dilengkapi dengan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang menawarkan aktiviti luar menyihatkan,” katanya.
Jelas beliau, selain daripada Lebuhraya Koridor Guthrie, Bukit Jelutong juga mempunyai rangkaian jalan yang cemerlang dengan menghubungkan pengguna kepada lebuhraya utama yang lain.
“Antaranya termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










