Kediaman komersial tingkat kebolehpasaran hartanah

Kediaman komersial tingkat kebolehpasaran hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN gaya hi­dup yang serba pantas dan moden serta pertumbuhan ekonomi yang pesat secara tidak langsung mempengaruhi trend penawaran kediaman di bandar-bandar utama terutamanya Lembah Klang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebanyakan generasi muda lebih tertarik untuk tinggal di kawasan bandar yang berhampiran dengan tempat kerja dan pengangkutan awam seperti stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

Perkembangan tersebut mendorong pemaju menawarkan kediaman melalui pembangunan berorientaikan transit (TOD) dan pembangunan bersepadu di lot komersial yang mendorong kepada penawaran kediaman berstatus komersial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Senibina Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohamad Fakri Zaky Jaafar berkata, hartanah berstatus kediaman hanya boleh digunakan untuk bangunan kediaman se­perti banglo, semi D, rumah teres, apartmen dan rumah bandar.

Katanya, hartanah kediaman berstatus komersial pula adalah seperti Pejabat Kecil Pejabat Rumah (SoHo), Pejabat Kecil Pejabat Fleksibel (SoFo) dan juga Pejabat Kecil Pejabat Maya (SoVo).

Beliau berkata, kebanyakan rumah berstatus komersial ini dikenali pangsapuri perkhidmatan ataupun apartmen servis.

“Biasanya hartanah komersial menjadi tarikan untuk generasi baharu yang sering bekerja dari rumah. Ia biasanya dekat dengan kemudahan pengangkutan awam seperti stesen LRT dan MRT.

“Oleh kerana keperluan sebegini, lebih baik kediaman disediakan juga untuk keperluan warga kerja yang tidak memerlukan pejabat yang tetap,” katanya, baru-baru ini.

DR. MOHAMAD FAKRI ZAKI JAAFAR

Bagaimanapun, Mohamad Fakri Zaky berkata, hartanah kediaman berstatus komersial tidak termaktub di bawah perjanjian jual beli (SPA) yang dilindungi di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (HDA).

“Pada masa ini, cuma ada perubahan bagi SoHo sahaja yang dimasukkan di bawah akta ini, manakala SoFo dan SoVo tidak termaktub di bawah akta tersebut.

“Kadar taksirannya juga lebih tinggi. Selain itu, bil letrik, pembentungan dan air kediaman komersil juga lebih tinggi sehingga lebih dua kali ganda,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan AFZ Realty, Sr Afizan Mohktar pula berkata, terma dan syarat pinjaman bagi hartanah berstatus komersial adalah berbeza rumah biasa yang berstatus kediaman.

Katanya, pembeli hanya la­yak untuk nisbah pinjaman kepada nilai (LVT) sehingga nilai 80 peratus sahaja.

“Ini bermaksud pembeli perlukan minimum 20 peratus sebagai wang pen­dahuluan. Jumlah pendahuluan juga mungkin lebih banyak, bergantung pada persetujuan bank.

“Selain itu, disebabkan kediaman ini dianggap sebagai hartanah komersial dan bukannya hartanah kediaman, maka pem­beli tidak dapat dan tidak layak keluarkan duit anda daripada Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membelinya,” ujarnya.

Afizan berkata, sungguhpun terdapat kekurangan tersendiri bagi hartanah berstatus komer­sial, hartanah ini masih mendapat tempat dalam pasaran.

“Kediaman komersial menawarkan kemudahan dan gaya hidup terkini yang popular dan relevan dalam kala­ngan ge­nerasi muda pada masa kini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN