PETALING JAYA: Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus pada Ogos 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.8 berbanding 128.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi keseluruhan secara bulanan pada Ogos 2023 meningkat marginal kepada 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus pada Julai 2023.
Peningkatan disumbangkan oleh Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain sebanyak 0.5 peratus (Julai 2023: 0.0 peratus); Kesihatan (0.5 peratus/Julai: 0.2 peratus); Restoran & Hotel (0.3 peratus/Julai: 0.3 peratus).
Manakala Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah dan Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan masing-masing meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding Julai 2023.
“Inflasi teras pada Ogos 2023 meningkat 2.5 peratus berbanding Julai 2023 (2.8 peratus), namun ianya masih melepasi kadar inflasi negara (2.0 peratus).
“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol iaitu dengan kenaikan 5.1 peratus. Ini diikuti oleh kumpulan Restoran & Hotel yang meningkat sebanyak 4.7 peratus dan Pengangkutan (3.6%). Manakala Pelbagai Barangan & Perkhidmatan dan Kesihatan masing-masing meningkat 2.4 peratus.
“Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (2.0 peratus) adalah lebih rendah berbanding Zon Euro (5.3 peratus), Filipina (5.3 peratus), Republik Korea (3.4 peratus), Indonesia (3.3 peratus) dan Vietnam (3.0 peratus). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (0.9 peratus) dan China (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, peningkatan inflasi didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan Restoran dan Hotel (4.7 peratus/Julai: 5.0 peatus) dan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (4.1 peratus/Julai: 4.4 peratus), diikuti kumpulan Pelbagai Barangan dan Perkhidmat dan Kesihatan, masing-masing meningkat sebanyak 2.4 peratus.
Katanya, kumpulan Makanan da Minuman Bukan Alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana (4.1 peratus/Julai: 4.4 peratus).
Komponen Makanan di rumah merekodkan peningkatan marginal 2.9 peratus berbanding 3.0 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya. Kenaikan komponen Makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan Daging (5.8 peratus).
Ini diikuti oleh subkumpulan beras, roti da bijirin lain dan susu, keju dan telur masing-masing meningkat 4.0 peratus. Selain itu, komponen Makanan di luar rumah mereda kepada 5.9 peratus berbanding 6.2 peratus yang direkodkan pada Julai 2023.
Antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah Nasi campur, Sate dan Nasi ayam.
“Inflasi Pengangkutan bagi Ogos 2023 tidak merekodkan sebarang kenaikan berbanding negatif 0.4 peratus pada Julai 2023,” katanya.
Beliau berkata, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.0 peratus. Walau bagaimanapun, hanya tujuh negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.4 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), Perlis (2.4 peratus), Perak (2.3 peratus), Selangor (2.3 peratus), Pahang (2.2 peratus) dan Melaka (2.1 peratus).
“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan dan Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (5.7 peratus), diikuti Selangor (5.3 peratus), Sarawak (5.0 peratus), Perlis (4.7 peratus), Melaka (4.4 peratus), Pulau Pinang (4.2 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (4.2 peratus) dan Pahang (4.1 peratus).
“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan dan Minuman Bukan Alkohol nasional iaitu 4.1 peratus pada Ogos 2023,” jelas beliau. – UTUSAN










