Industri pelancongan sumbang 14% kepada ekonomi tahun lalu - Utusan Malaysia

Industri pelancongan sumbang 14% kepada ekonomi tahun lalu

PULAU Redang antara pulau pelancongan yang menjadi tumpuan pengunjung di Terengganu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) Malaysia pada 2022 mencatatkan RM251.5 bilion, menyumbang sebanyak 14 peratus kepada ekonomi Malaysia berbanding hanya 12.8 peratus pada 2021.

Selain itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar Pelancongan Langsung (KDNKPL) merekodkan RM47.9 bilion berbanding RM11.6 bilion pada 2021.

“Prestasi yang memberangsangkan ini susulan daripada pembukaan semula sempadan negara kepada pelancong antarabangsa pada 1 April 2022 dan penghapusan keperluan kuarantin serta ujian saringan Covid-19 ketika tiba di Malaysia mulai 1 Ogos 2022.

“Perbelanjaan pelancongan daripada pelancongan inbound (antarabangsa) juga telah meningkat secara signifikan dengan peningkatan sebanyak RM33.4 bilion iaitu 7000.2 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, prestasi industri pelancongan Malaysia dipacu oleh peningkatan semula perbelanjaan pelancongan domestik bernilai RM59.2 bilion, memulih dengan kenaikan sebanyak 239.3 peratus berbanding-54.8 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pelancongan domestik menyumbang 63.9 peratus kepada jumlah penggunaan pelancongan internal yang merangkumi kedua-dua perbelanjaan dari pelancong inbound dan domestik.

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa memberikan impak yang ketara terhadap perjalanan ke luar negara, dengan perbelanjaan sebanyak RM22.5 bilion pada tahun lalu, mencatatkan peningkatan sebanyak 114.6 peratus berbanding RM10.5 bilion (-39.1 peratus) pada 2021.

“Tambahan pula, industri pelancongan menyumbang kepada 23.4 peratus kepada keseluruhan guna tenaga dengan 3.61 juta orang bekerja pada 2022 berbanding 3.52 juta orang) pada 2021, mencerminkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus,” ujarnya.

Sebagai jangkaan, Mohd. Uzir berkata, pihaknya meramalkan pertumbuhan pesat pada tahun ini berdasarkan kepada senario semasa dan dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) yang turut menyasarkan ketibaan lebih kurang 16.1 juta pelancong ke Malaysia.

“Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan ini, termasuk dengan peruntukan sebanyak RM25 juta melalui Geran Sokongan Sektor Pelancongan untuk mempromosikan Malaysia dan mencapai matlamat Tahun Melawat Malaysia (TMM) pada 2026.

“Kerajaan menetapkan sasaran 23.5 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan pendapatan dijangka sebanyak RM76.8 bilion semasa TMM 2026,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN