PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan unjuran eksport dan import masing-masing akan jatuh kepada 6.4 peratus dan 6.9 peratus pada tahun ini, berikutan permintaan yang lemah daripada pasaran maju.
Menurut nota penyelidikannya, walaupun terdapat risiko peningkatan daripada pertumbuhan yang lebih baik di China dan jangkaan pemulihan dalam eksport elektrik dan elektronik (E&E), firma tetap berhati-hati kerana permintaan yang lemah daripada pasaran maju akan terus memberi kesan buruk kepada prospek perdagangan antarabangsa.
Katanya, kenaikan harga komoditi baru-baru ini akan mengurangkan kesan harga negatif ke atas prestasi perdagangan luar.
“Sebaliknya, kami tetap berhati-hati bahawa permintaan global yang lebih lemah daripada jangkaan terutamanya daripada pasaran maju akan terus memberi kesan buruk kepada perdagangan antarabangsa.
“Ini kerana permintaan akhir daripada ekonomi ini mungkin dikekang oleh kos pinjaman yang tinggi dan kredit yang lebih ketat.
“Memandangkan ketidaktentuan dalam permintaan, kami menjangkakan import akan jatuh apabila pengeluar tempatan memperlahankan pembelian input dan bahan mentah mereka,” katanya di sini semalam.
Semalam, Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) melaporkan jumlah perdagangan negara pada Ogos 2023 menyusut 19.8 peratus kepada RM213.01 bilion berikutan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah.
MITI berkata, eksport menyusut 18.6 peratus kepada RM115.16 bilion dan import menurun sebanyak 21.2 peratus kepada RM97.85 bilion.
Sementara itu, AmBank Economic Research mengunjurkan permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan tahun ini, hasil daripada peningkatan berterusan dalam pasaran buruh dan persekitaran kadar faedah yang akomodatif.
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan pemulihan berterusan dalam jumlah ketibaan pelancong juga harus menyokong permintaan domestik.
“Dari segi luaran, perdagangan global bersama-sama dengan aktiviti pembuatan kekal lemah pada separuh kedua 2023 memandangkan prospek ekonomi pesimis merentas ekonomi utama terhadap kesan kadar faedah yang lebih tinggi manakala pemulihan China lebih perlahan daripada yang dijangkakan setakat ini.
“Pada September, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan kekal menguncup untuk bulan ke 12 berturut-turut. Pengilang mengurangkan pengeluaran kerana permintaan yang lemah daripada rakan kongsi luar negara.
“Kami menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.0 peratus pada 202, dan 4.5 peratus pada 2024,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Ekonomi Kanan ASEAN OCBC Bank, Lavanya Venkateswaran berkata, data perdagangan Ogos dan diambil bersama-sama dengan data untuk Julai menunjukkan bahawa momentum pertumbuhan luaran kekal hambar pada suku ketiga 2023.
“Ini secara amnya kekal konsisten dengan unjuran kami untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal lemah pada 4.0 peratus pada 2023. Walaupun prospek pertumbuhan yang lebih lemah, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan kekal tertahan untuk baki 2023,” katanya. – UTUSAN










