Dana KWAP berjumlah RM184.5 bilion setakat Julai

Dana KWAP berjumlah RM184.5 bilion setakat Julai

AHMAD Maslan merasmikan Forum Pencarum KWAP di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekodkan dana belum diaudit berjumlah RM184.5 bilion setakat Julai 2023.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, komposisi peratusan pelaburan dana pencen itu buat masa ini adalah 80 peratus bagi pelaburan domestik manakala bakinya, 20 peratus pelaburan antarabangsa.

Menurut beliau, portfolio KWAP melibatkan pelaburan daripada pendapatan sebanyak 40 peratus, ekuiti awam (40 peratus), ekuiti swasta (10 peratus) dan hartanah (10 peratus).

Katanya, KWAP mengurus dana itu dengan baik selama ini, dan mereka memberi jumlah dividen tertentu bagi membantu kerajaan membayar tanggungan persaraan 900,000 pesara termasuk pencen terbitan berjumlah RM31 bilion setiap tahun.

“Oleh itu, kerajaan berharap agar penambahbaikan dapat dilaksanakan oleh KWAP terutama melalui pelaburan berte­rusan dalam membantu kerajaan membayar wang persaraan kepada kakitangan awam yang bersara,” katanya selepas merasmikan Forum Pencarum KWAP 2023, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Ahmad berkata, sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), KWAP merupakan pemegang dana ketiga terbesar selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ujar beliau, dana caruman KWAP terdiri daripada tiga sumber iaitu caruman Kerajaan Persekutuan, syer kerajaan dan caruman pihak majikan seperti badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi peminjam.

“Secara anggarannya, Jaba­tan Caruman KWAP berjaya mengumpul sebanyak RM57.4 bilion dana caruman bagi membiayai persaraan penjawat awam sejak ditubuhkan pada 2007 sehingga Julai 2023.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM15.3 bilion diperoleh melalui caruman Kerajaan Persekutuan, manakala RM25.8 bilion pula daripada syer kerajaan dan RM16.3 bilion daripada caruman pihak majikan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, KWAP berjaya mengembangkan saiz dana kasarnya sebanyak empat kali ganda daripada RM41.9 bilion pada 2007 kepada kepada RM184.5 bilion.

Kejayaan itu jelas beliau, bukti kekuatan KWAP dan pihak maji­kan yang mencarum dalam ekosistem persaraan negara, yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan kelestarian masa depan sosio ekonomi rakyat terutamanya pesara kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN