KOTA BHARU: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menawarkan 6,600 unit Sijil Simpanan Islamik (SSi) edisi terhad sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-66 pada kali ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin berkata, melalui SSi ini Bank Mualamat menawarkan pelanggan peluang eksklusif untuk melabur dalam instrumen simpanan patuh Syariah.
Menurutnya, inisiatif itu membuktikan komitmen Bank Muamalat dalam memperkukuh simpanan serta memastikan kewangan yang berdaya tahan buat pelanggannya.
“Seiring dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, edisi terhad ini adalah usaha Bank Muamalat dalam memberi harapan baru kepada para pelanggan sedia ada dan baharu untuk bersama-sama berusaha merancang masa depan kewangan di samping mendapat peluang membawa balik hadiah berjumlah lebih daripada RM3 juta.
“Di samping menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia, melalui SSi yang baru diperkenalkan ini, Bank Mualamat turut memberi dua kali peluang kepada pelanggan untuk memenangi RM1 juta tunai bagi setiap satu cabutan pada November ini dan Februari tahun depan,” katanya ketika ditemui.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Bank Mualamat Zury Rahimee Zainal Abiden.
Khairul memberitahu, pada masa sama pelanggan yang layak turut berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan seperti kereta mewah dari jenis Mercedes C200 dan Mercedes A200.
Katanya, baucar perjalanan, iPad, gajet dan hadiah tunai lain sebanyak 754 hadiah secara keseluruhan melalui 10 kategori cabutan yang ditawarkan kepada pelanggan.
“SSi ini terbuka untuk semua warganegara Malaysia sama ada pelanggan baharu atau sedia ada yang berusia 12 tahun dan ke atas.
“Misi Bank Muamalat adalah jelas, untuk memperkasa setiap individu dalam memperkukuh simpanan serta memastikan kewangan yang berdaya tahan dan, akhirnya, mencipta ‘kehidupan lebih baik, bersama,” ujarnya. – UTUSAN