PUTRAJAYA: Akademi penerbangan terkemuka, Asia Aeronautical Training Academy (AATA) membentuk semula landskap latihan penerbangan yang memenuhi keperluan pendidikan penerbangan moden.
Menerusi hasrat itu, akademi tersebut yang dimiliki ATAS Aeronautik Sdn (ATAS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Asian Aerospace Services Ltd (AAS), pengedar pesawat sah untuk Malaysia, Diamond Aircraft.
Menurut kenyataan AATA, MoU itu merealisasikan kerjasama jangka panjang dengan penyampaian 10 unit pesawat Diamond 40NG dan dua pesawat Diamond 42 dalam tempoh 48 bulan akan datang.
Dengan pembelian 10 unit Diamond 40NG, AATA boleh menjimatkan 331 tan penggunaan bahan api bersamaan kos sebanyak RM6.13 juta dan 573 tan untuk pelepasan CO2 setiap tahun sekali gus membantu mempromosikan kelestarian penerbangan.
“Di bawah MoU ini, AAS akan menyediakan armada pesawat latihan tercanggih yang disesuaikan khusus untuk memenuhi keperluan pendidikan penerbangan moden sambil mempromosikan inisiatif pengurangan pelepasan karbon dan mengoptimumkan kos operasi.
“AATA bersedia untuk melabur RM38.5 juta untuk memperoleh enjin Austro AE 300 generasi baharu pesawat yang jauh lebih baik dalam kecekapan bahan api berbanding Lycoming IO-360 bagi mengurangkan pelepasan CO2,” katanya .
MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ATAS, Kapten Kenneth Yap dan Pengarah Urusan AAS, Hubert Trunzer di kampus AATA, Senai, Johor.
Usaha itu merupakan langkah penting dalam meningkatkan keupayaan latihan AATA dan komitmen untuk memajukan pendidikan penerbangan.
Pada masa sama, keputusan AATA untuk kerjasama jangka panjang dengan AAS berdasarkan peningkatan permintaan juruterbang kerana pertumbuhan trafik udara dunia dan pesanan pesawat baharu semakin meningkat. – UTUSAN










