Untung bersih UMW Holdings Berhad meningkat tiga kali ganda

Untung bersih UMW Holdings Berhad meningkat tiga kali ganda kepada RM303.55 juta

AHMAD FUAAD KENALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMW Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih yang meningkat hampir tiga kali kepada RM303.55 juta dalam suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 daripada RM107.19 juta bagi tempoh sama tahun lepas, didorong oleh penjualan sebidang tanah perindustrian di Serendah.

Perolehan hasilnya melonjak 20.2 peratus kepada RM4.48 bilion daripada RM3.73 bilion, sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, peningkatan hasil itu didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen susulan permintaan berterusan pada suku semasa dan selesainya penjualan tanah perindustrian kepada Longi (Kuching) Sdn. Bhd. pada harga RM304.9 juta.

UMW Holdings berkata, perolehan hasil daripada segmen automotif meningkat 9.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.42 bilion, peralatan menambah 24.4 peratus tahun ke tahun kepada RM456.2 juta, segmen pembuatan dan kejuruteraan menokok 32.4 peratus tahun ke tahun kepada RM299.7 juta manakala segmen lain mencatat hasil sebanyak RM340.3 juta.

Bagi tempoh separuh pertama 2023, keuntungan bersih Kumpulan itu meningkat kepada RM438.01 juta daripada RM208.39 juta pada tempoh sama tahun 2022 dan hasil melonjak kepada RM8.86 bilion daripada RM7.38 bilion sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya gembira dengan prestasi kukuh kumpulan pada suku kedua 2023, yang melepasi paras pra-pandemi.

“Kumpulan akan terus menumpukan pada pengukuhan perniagaannya melalui kecekapan operasi dan inisiatif pengurusan kos serta mempercepatkan inisiatif CREST@UMW untuk meningkatkan daya tahan dan kemampanannya.

“Kumpulan menjangka dapat memberikan prestasi yang memuaskan untuk tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN