Untung bersih SDP susut 53 peratus kepada RM380 juta

Untung bersih SDP susut 53 peratus kepada RM380 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) menjangkakan tahun kewangan 2023 kekal mencabar setelah mencatatkan untung bersih sebanyak RM380 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023, jatuh 53 peratus daripada RM812 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat hartanah itu berkata, pendapatan pada suku yang sama juga jatuh 23 peratus kepada RM4.30 bilion daripada RM5.58 bilion suku kedua 2022.

Katanya, kemerosotan dalam keuntungan tahun ke tahun Kumpulan disebabkan terutamanya oleh harga realisasi purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit (PK) yang lebih rendah.

Tambahnya, ia diburukkan lagi dengan perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi, terutamanya membabitkan harga baja dan kos buruh.

Pada suku kedua, harga MSM yang direalisasikan merosot 28 peratus tahun ke tahun kepada purata RM3,765 setan, daripada RM5,213 satu tan yang dicatatkan dalam tempoh sama sebelumnya.

Sementara itu, harga purata PK direalisasikan merosot sebanyak 47 peratus tahun ke tahun kepada RM1,767 setan daripada RM3,339 satu tan berikutan penurunan permintaan dalam industri kimia oleo.

Bagi enam bulan pertama pula, SDP mencatatkan keuntungan untung bersih sebanyak RM449 juta, jatuh 71 peratus daripada RM1.53 bilion tempoh sama 2022.

Dalam pada itu, hasil bagi separuh pertama pula dilaporkan sebanyak RM8.37 bilion, turun 16 peratus daripada RM9.96 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan SDP, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pemulihan agresif berterusan operasi huluan Malaysia, Kumpulan mula menunjukkan hasil dengan peningkatan dalam pengeluaran buah tandan segar (BTS) Malaysia pada suku kedua 2023.

“Ditambah pula dengan ketibaan dan peningkatan kemahiran penuai baharu, ini akan meletakkan operasi penuaian dan ladang kami kembali ke landasan untuk memberikan produktiviti yang lebih baik untuk sepanjang tahun ini.

“Memandangkan kami menghampiri tempoh pengeluaran puncak dalam beberapa bulan akan datang, Kumpulan berharap untuk terus meningkatkan prestasi pada separuh kedua 2023,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN