Untung bersih S2 TK2023 Public Bank meningkat 14 peratus

Untung bersih S2 TK2023 Public Bank meningkat 14 peratus kepada RM1.6 bilion

public bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Public Bank Berhad meningkat 14 peratus tahun ke tahun kepada RM1.62 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (S2TK2023), daripada RM1.42 bilion setahun sebelumnya, dipacu pertumbuhan pinjaman dan deposit yang sihat, berhemat. pengurusan kos, serta kualiti aset yang stabil.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan perbankan itu berkata, hasil suku tahunan meningkat kepada RM6.26 bilion, daripada RM4.97 bilion setahun sebelumnya.

Perolehan sesaham meningkat kepada 8.34 sen daripada 7.30 sen sebelumnya.

Public Bank juga mengisytiharkan dividen sembilan sen sesaham.

Bagi enam bulan terkumpul berakhir 30 Jun 2023, keuntungan bersih meningkat kepada RM3.33 bilion daripada RM2.82 bilion, bersandarkan hasil RM12.39 bilion berbanding RM9.86 bilion untuk separuh pertama tahun lalu.

Public Bank berkata, keuntungan itu terus disokong oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit pelanggan yang sihat.

Ia berkata, pinjaman kasar meningkat sebanyak RM19.2 bilion atau 5.2 peratus kepada RM387.2 bilion pada 30 Jun, 2023, berbanding RM368.0 bilion setahun lalu, terutamanya didorong oleh pertumbuhan dalam pembiayaan gadai janji dan pembiayaan sewa beli.

Jumlah deposit daripada pelanggan meningkat sebanyak 4.7 peratus atau RM18.2 bilion kepada RM406.5 bilion pada 30 Jun 2023.

Nisbah pinjaman terjejas kasar Kumpulan kekal rendah pada 0.55 peratus pada akhir Jun, berbanding purata nisbah pinjaman terjejas kasar industri sebanyak 1.76 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, pendapatan faedah bersih meningkat sebanyak 3.4 peratus, terutamanya diterajui oleh perniagaan pinjaman dan deposit, yang berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 5.4 peratus (pinjaman) dan 6.0 peratus (deposit).

Ujarnya, pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 5.4 peratus, berikutan pendapatan yang lebih tinggi daripada perniagaan pertukaran asing dan pembrokeran saham.

“Dengan perkembangan berterusan ekonomi Malaysia, prospek perniagaan bagi sektor perbankan kekal positif.

“Terdapat juga peluang yang semakin meningkat yang timbul daripada peningkatan permintaan untuk perbankan digital dan produk ESG,” katanya.

Untuk menangani penipuan, Kumpulan katanya, terus meningkatkan keselamatan dalam talian dengan pelbagai langkah baharu.

Ini termasuk pelaksanaan kaedah pengesahan yang lebih kukuh dikenali sebagai PB SecureSign untuk menggantikan pengesahan SMS PAC untuk kelulusan transaksi dalam talian.

“Public Bank juga telah memperkenalkan tempoh bertenang untuk urus niaga perbankan, yang dianggap mempunyai risiko lebih tinggi atau tidak normal, memberikan keselamatan tambahan untuk meminimumkan risiko penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN