Untung bersih Pharmaniaga melonjak 154% - Utusan Malaysia

Untung bersih Pharmaniaga melonjak 154%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) mencatat Keuntungan Selepas Cukai dan Zakat (PAT) berjumlah RM2.3 juta pada suku kedua 2023, lonjakan ketara sebanyak 154 peratus daripada RM0.9 juta dalam suku sama tahun lepas.

Prestasi berdaya tahan pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 itu didorong jualan yang lebih tinggi dalam segmen Bukan Konsesi serta operasinya di Indonesia.

Kumpulan turut melaporkan hasil sebanyak RM848.7 juta untuk suku tersebut, menandakan 11.5 peratus peningkatan daripada RM761.1 juta pada suku sama tahun lepas.

Keputusan yang lebih baik ini menunjukkan keberkesanan strategi penembusan pasaran kumpulan, usaha pengurusan kecekapan kos dan pengembangan.

Segmen Bukan Konsesi merekodkan hasil sebanyak RM333.2 juta, peningkatan yang membanggakan sebanyak 27 peratus berbanding RM262.7 juta yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Keuntungan Sebelum Cukai dan Zakat (PBT) bagi suku tersebut berjumlah RM6.3 juta, meningkat ketara sebanyak 40.3 peratus daripada RM4.5 juta yang dilaporkan pada suku kedua 2022.

Pengerusi Pharmaniaga, Izaddeen Daud berkata, pihaknya telah memulakan usaha penyusunan semula perniagaan yang merangkumi pelaksanaan inisiatif disiplin fiskal yang ketat merentasi operasinya sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan komprehensif kumpulan.

Mengakui keperluan untuk merombak strategi perniagaan kumpulan, beliau menjelaskan, usaha ini adalah langkah kumpulan untuk mengukuhkan tadbir urus dan proses dalaman bagi memastikan ketelusan dalam semua aktiviti perniagaannya.

“Pada masa yang sama, kumpulan sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap kedudukannya dalam semua segmen perniagaan, mengesahkan setiap cabaran yang sedang dihadapi dan ditangani secara holistik.

“Ini termasuk penstrukturan semula unit perniagaan yang tidak berprestasi, memperkemas
aktiviti perniagaan, serta pengoptimuman tenaga kerja dan penggunaan aset,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, ia akan menjadi tempoh yang mencabar dan bergelombang untuk kumpulan, tetapi langkah strategik ini akan menegakkan integriti perniagaan dan memupuk perniagaan yang lebih tangkas, cekap dan model operasi yang mampan.

“Matlamat utama adalah untuk pelan pemulihan yang telus, realistik dan terperinci, yang akan menetapkan laluan yang untuk memulihkan keuntungannya, mengekalkan kedudukannya dalam industri dan mencipta nilai untuk pemegang saham,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN