KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan peningkatan 14 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM254.2 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (separuh pertama 2023), berbanding tempoh sama pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar, hasil Kumpulan meningkat sebanyak 39.4 peratus kepada RM2.22 bilion (RM2,224.1 juta) dalam tempoh tersebut berbanding RM1.56 bilion (RM1,595.9 juta) pada tahun lepas.
“Peningkatan tersebut didorong oleh pertambahan pendapatan bersih ekoran pendapatan bukan berasaskan dana lebih tinggi iaitu RM117.2 juta atau 134.8 peratus, dipacu oleh pendapatan pelaburan lebih baik serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.
“Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 3.1 peratus menerusi pertumbuhan pembiayaan kasar tahun ke tahun dan pengukuhan margin pendapatan bersih (NIM) kepada 2.11 peratus bagi S22023 daripada 2.06 peratus pada suku pertama 2023.
“Prestasi lebih baik ini diterjemah kepada perolehan sesaham bernilai 11.37 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 7.1 peratus,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat 30 Jun 2023, jumlah aset Kumpulan Bank Islam meningkat ke RM87.5 bilion, tumbuh sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.
Ujarnya, Bank Islam turut sasar untuk mengekalkan momentum pertumbuhan pembiayaan pada 7.0 peratus hingga 8.0 peratus pada tahun ini.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023, Bank Islam telah mencapai prestasi purata industri perbankan sebanyak 4.4 peratus dengan pertumbuhan pembiayaan kasar sebanyak 9.3 peratus tahun ke tahun, didorong oleh kedua-dua segmen runcit (pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana) dan institusi perbankan (korporat dan komersial.
Pembiayaan kasar mengukuh 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM66.3 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM72.3 bilion dengan peningkatan sebanyak RM2.0 bilion tahun ke tahun atau 2.8 peratus.
Menurutnya, pengukuhan itu berikutan pertumbuhan teguh sebanyak 6.4 peratus tahun ke tahun atau RM1.7 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) untuk berada pada RM28.3 bilion.
Komposisi ini menjadikan aras sihat sebanyak 39.1 peratus dalam jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan. Jumlah nisbah modal Kumpulan kekal teguh pada 19.6 peratus.
Jelasnya lagi, kedudukan modal dan kecairan yang sihat juga mencerminkan momentum pertumbuhan dan asas kami kekal teguh.
Menurut Mohd Muazzam, setakat 30 Jun 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar juga bertambah baik ke 1.03 peratus berbanding 1.37 peratus pada akhir Mac 2023 dan kekal lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.75 peratus.
“Prestasi separuh pertama tahun ini mencerminkan keutuhan dan fokus Bank Islam dalam menyampaikan nilai kepada pemegang taruh walaupun berdepan landskap pasaran yang mencabar dan perkembangan global yang lemah.
“Walau bagaimanapun, Bank Islam terus berwaspada dengan ketidaktentuan ini melalui pengurusan kecairan dan pendanaan kos secara berhemat serta mengambil langkah-langkah untuk mengoptimumkan kos,” katanya.
Katanya, kumpulan kekal teguh dalam melaksanakan hala tuju strategi lima tahun (LEAP25) yang merangkumi pembangunan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial.
Ujarnya, asas Bank Islam adalah bersandarkan nilai, memacu kami untuk meneroka potensi luas kewangan Islam dan memanfaatkan instrumen kewangan Islam demi manfaat komuniti dan alam sekitar.
Ujarnya, sebagai bank perintis Program iTEKAD, Bank Islam berhasrat untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi dan memupuk aliran pendapatan mampan untuk usahawan mikro yang layak dengan memperkasakan mereka melalui pembinaan kapasiti.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2020 sehingga 31 Julai 2023, Bank Islam telah mengagihkan sebanyak RM14 juta bagi iTEKAD dan pencepat pendanaan, secara langsung memanfaatkan lebih 900 penerima dan menggalakkan mobiliti ke atas buat mereka. – UTUSAN










