RAMAI orang mempunyai keinginan untuk memiliki rumah terutamanya mereka yang daripada kategori pembeli rumah pertama.
Soalan yang sering dibangkitkan adalah, berapakah umur yang sesuai untuk seseorang itu memiliki rumah?
Sebenarnya, tiada kategori umur tertentu untuk seseorang itu membeli rumah. Namun, perlu diingatkan, semakin meningkat umur anda, semakin kurang terma pinjaman yang boleh diperolehi.
Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi berkongsi panduan mengenai bilakah waktu yang sesuai untuk seseorang itu membeli rumah?
Sedia dari segi hati
Soalan yang bertanyakan berapakah umur yang sesuai untuk membeli rumah, sebenarnya tiada jawapan.
Ini kerana jawapan itu bergantung kepada diri sendiri dan bukanlah bergantung kepada usia.
Ada orang yang berusia 20 tahun dan sudah bersedia untuk membeli rumah dan ada juga orang berusia 35 tahun atau 40 tahun, namun belum bersedia untuk membeli rumah.
Persediaan daripada segi apa yang diperlukan untuk membeli rumah? Macam-macam persediaan, terutamanya dari segi hati.
Sanggupkah anda untuk berhutang selama 35 tahun? Sanggupkah anda membeli rumah di lokasi tertentu yang bermaksud ia akan kekal?
Memang rumah boleh dijual, tetapi anda akan mengalami kerugian. Ada rumah yang harganya tidak naik terlalu tinggi.
Selepas membeli rumah itu selama satu atau dua tahun, harga rumah tidak meningkat, justeru kalau dijual akan rugi kerana anda telah menanggung pelbagai fi seperti fi guaman, setem duti dan penilaian.
Sedia dari segi pekerjaan dan pasangan
Sebagai contoh, mungkin sekarang anda rasa anda kaya dan berkemampuan kerana anda bekerja sebagai penunggang (rider).
Namun, bagaimana keadaan kewangan anda selepas lima tahun? Adakah anda masih mempunyai pekerjaan yang sama? Yakin ke komisen yang diterima itu juga sama jumlahnya?
Setiap kali membuat penghantaran anda akan mendapat RM10, bagaimana jika dalam masa dua tahun amaun itu akan dipotong kepada RM5?
Itu bermakna, pekerjaan anda tidak stabil, bukan seperti doktor dan pekerjaan yang mendapat gaji tetap. Jadi, dari segi karier juga perlu dilihat sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah.
Dari segi pasangan pula, anda suka rumah itu tetapi pasangan kurang berminat, tak ada guna juga untuk membelinya.
Jadi, persediaan bukan diukur dari segi usia. Jika anda boleh menjawab semua soalan yang dipersoalkan di bawah dengan baik, itu bermakna anda sudah bersedia.
Soalannya, mahu beli di kawasan mana dan kenapa? Isteri suka ke rumah itu? Duit ada? (Tanpa membuat pinjaman peribadi). Bagaimana pula dengan pekerjaan? Adakah pekerjaan itu stabil?
Sekiranya anda masih tertanya-tanya, itu bermakna anda belum lagi bersedia.
Jangan beli rumah semata-mata
‘Umur berapa saya bersedia?’
Tidak salah untuk bertanya soalan itu, cuma tolong jangan dengar cakap orang lain jika semata-mata hendak membeli rumah.
Anda perlu membeli rumah kerana anda betul-betul inginkan rumah tersebut, bukan sebab anda takut ketinggalan berbanding kawan-kawan lain yang sudah memiliki rumah.
Kalau beli rumah yang salah kerana tergesa-gesa, anda sendiri yang akan sakit hati. Anda perlu berhati-hati kerana ia adalah item tiket terbesar. Anda mungkin menganggap rumah RM300,000 murah.
Manakala rumah yang sederhana berharga RM500,000 dan yang mahal RM800,000 atau RM1 juta. Jadi, kenapa mahu tergesa-gesa?
Fikir betul-betul. Jangan termakan dan terpedaya oleh ajakan orang lain terutama sekali orang yang ada kepentingan untuk anda meneruskan dengan pembelian rumah ini.
Kena pilih pelaburan
Membeli rumah adalah satu pelaburan yang baik jika dipilih dengan baik, sama seperti semua jenis pelaburan.
Jika anda mahu membeli unit amanah juga merupakan pelaburan yang baik tetapi perlu membeli dana yang betul dan sesuai dengan anda.
Begitu juga dengan emas, perak dan sebagainya, ada waktu yang sesuai untuk anda membelinya.
Kesimpulannya, anda perlu mempunyai ilmu untuk membuat pelaburan lebih-lebih lagi jika mahu membeli rumah sebagai pelaburan. Ilmunya sangat luas, jadi tidak perlu terburu-buru.
Pisahkan emosi dengan keputusan
Apabila bercakap tentang rumah, pasti ada yang akan emosi. Sebab apa? Sebab ramai orang di luar sana yang bermain dengan fikiran anda.
Ada yang berkata, anda perlu membeli rumah, jika tidak, anda bukanlah orang yang berjaya sambil membandingkan anda dengan orang yang sudah membeli rumah.
Jadi anda pun membuat keputusan untuk meminjam. Bila bercakap tentang hartanah, manusia cenderung untuk bersikap tidak rasional.
Mereka tidak begitu peduli tentang lokasi rumah itu, janji sudah ada rumah. Tetapi bagaimana jika lokasi itu tidak bagus dan tidak strategik? Banyak penawaran tetapi permintaan sedikit kerana jauh dari Kuala Lumpur walaupun mempunyai akses kepada lebuh raya.
Jadi, belilah rumah ketika anda sudah bersedia. Berapa usia ketika membeli rumah, langsung tidak penting.
Menyewa untuk fleksibiliti tak apa
Akhir sekali, orang selalu menyebut “menyewa sampai tua”.
Bukan saya nak cakap menyewa sampai tua itu bagus, tetapi sementara anda tengah menyewa itu, duit lebih yang ada tidak perlu digunakan untuk bayar pinjaman, anda hanya perlu membayar sewa sahaja. – UTUSAN










