TH Plantations catat untung bersih lebih rendah

TH Plantations catat untung bersih lebih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) meraih keuntungan bersih sebanyak RM18.8 juta untuk separuh pertama tahun kewangan 2023, susut daripada RM36.5 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM318.9 juta pada tempoh dilapor, penurunan sebanyak 28.9 peratus berbanding tempoh sama 2022.

Pendapatan lebih rendah disebabkan purata harga realisasi yang lebih rendah bagi Minyak Sawit Mentah (MSM) dan Isirong Sawit (PK), masing-masing jatuh 30.1 peratus dan 50.8 peratus dalam tempoh sama walaupun kedua-duanya mencatatkan volum jualan yang lebih tinggi.

Secara positif, pengeluaran dan pemprosesan Buah Tandan Segar (BTS) Kumpulan untuk tempoh tersebut masing-masing meningkat sebanyak 7.1 dan 10.1 peratus.

Pada masa sama, pengeluaran MSM dan volum jualan Kumpulan meningkat sebanyak 8.8 dan 10.4 peratus, begitu juga pengeluaran PK dan volum jualan yang masing-masing meningkat sebanyak 13.7 dan 17.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, dari segi operasi, Kumpulan terus menunjukkan peningkatan pengeluaran ditambah inisiatif strategik Kumpulan untuk mendapatkan BTS luar melalui Program Perkongsian bersama Pekebun Kecil Bumiputera yang berjaya meningkatkan kadar penggunaan kilang dan volum jualan MSM.

“Program mekanisasi kami juga telah meningkatkan masa pusing ganti penuaian, meningkatkan kebolehcapaian dan liputan kawasan.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan pada pengurusan kos yang berkesan dan inisiatif kelestarian untuk meningkatkan lagi kecekapan keseluruhan operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, THP menjangkakan harga minyak sawit kekal pada paras sekarang pada tempoh separuh kedua 2023, walaupun sentimen ramalan ekonomi lebih lemah di seluruh dunia disebabkan ketegangan politik, tekanan inflasi daripada harga makanan dan tenaga yang tinggi serta keadaan cuaca tidak menentu yang dijangka akan menjejaskan bekalan dan permintaan MSM.

“THP optimis dan akan terus memberi tumpuan kepada strateginya yang mantap untuk sebagai mitigasi kepada keadaan operasi yang mencabar.

“Tanpa sebarang keadaan yang tidak diduga, THP menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan 2023,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN