PETALING JAYA: TFX Islamic Sdn. Bhd. menyifatkan kerjasama dengan Maybank Islamic Berhad sebagai pencetus untuk berkembang lebih maju dan relevan dalam era teknologi yang semakin berkembang pesat.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif TFX Islamic, Halmi Halim berkata, syarikat lebih bersemangat untuk terus menjalankan inovasi dan memberikan nilai tambah kepada industri dan masyarakat terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
“Rancangan kami selepas ini adalah untuk memberi tumpuan kepada kerjasama kami dengan Maybank Islamic dan mengukuhkan kerja berpasukan.
“Kami merancang untuk memberikan pengalaman pelanggan terbaik kepada pelanggan Maybank supaya mereka dapat mengakses pembiayaan di bawah program istimewa ini. Selain daripada itu, kami juga sibuk di TFX dalam persiapan pelancaran TFX Biz Flow dalaman kami, alat bagi PKS menjalankan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah Halmi, Syarikat merancang untuk menyediakan pengalaman pelanggan terbaik kepada pelanggan Maybank supaya mereka dapat mengakses pembiayaan di bawah program istimewa itu.
“Selain daripada itu, kami juga sibuk di TFX dalam persiapan untuk pelancaran TFX Biz Flow dalaman kami, satu penyelesaian digital bagi PKS untuk menjalankan perniagaan dengan mudah,” katanya.
Pada 17 Ogos lalu, Maybank Islamic mengumumkan kerjasama dengan TFX Islamic, syarikat teknologi kewangan (fintech) patuh syariah untuk platform kewangan rantaian bekalan digital (digital supply chain) yang menawarkan pengalaman digital hujung ke hujung (end-to-end) kepada pelanggan dengan mempercepatkan masa pelepasan dana pembiayaan kepada hanya satu hari berbanding purata 3 hari.
Platform yang dikenali sebagai “Islamic Digital Supplier Financing Programme (DSFP-i)” mampu memendekkan proses yang melibatkan dokumentasi fizikal, pengurusan dokumen fizikal antara pembeli dan pembekal, sehingga ke pihak bank.
Kolaborasi antara Maybank Islamic dan TFX Islamic dimenterai dalam satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican dan Halmi Halim, baru-baru ini.
“Kami yakin bahawa inisiatif ini memberikan impak yang positif kepada pelanggan kami dalam meningkatkan aliran tunai perniagaan mereka serta pengurusan rantaian bekalan yang kini menuju ke era transformasi digital.
“Kerjasama kami dengan TFX Islamic akan mengukuhkan komitmen Maybank terhadap Strategi M25+ dengan pengalaman pelanggan menjadi salah satu tonggak utama strategi ini,” kata Mohamed Rafique dalam kenyataan.
Halmi pula berkata, ia merupakan penghormatan besar buat TFX Islamic kerana dipilih oleh Maybank Islamic sebagai rakan teknologi dalam pembiayaan rantaian bekalan patuh Syariah bank berkenaan, dengan matlamat utama untuk memudahkan akses pembiayaan modal berniaga kepada PKS. – UTUSAN










