PETALING JAYA: TDM Berhad merekodkan pendapatan lebih rendah pada suku kedua tahun kewangan 2023 (S2 TK2023) berjumlah RM129.3 juta, turun 19 peratus tahun ke tahun daripada RM159.4 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Kejatuhan itu kesan daripada penurunan pendapatan sebanyak 41 peratus tahun ke tahun (YoY), bahagian perladangan.
Menurut syarikat itu, pendapatan Bahagian Penjagaan Kesihatan meningkat sebanyak 16 peratus YoY kepada RM72.0 juta daripada RM62.2 juta pada S2 TK2022.
“TDM juga melaporkan Kerugian Sebelum Cukai (LBT) sebanyak RM9.5 juta bagi suku semasa berbanding Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM4.7 juta pada S2 TK2022.
“Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) juga menurun sebanyak 43 peratus YoY daripada RM29.6 juta kepada RM16.7 juta dalam tempoh masa yang sama,” katanya dalam kenyataan.
TDM berkata, bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (1H TK2023), jumlah pendapatan Kumpulan menurun sebanyak 14 peratus YoY kepada RM260.4 juta.
Bahagian Perladangan menyaksikan penurunan 39 peratus YoY, manakala Bahagian Penjagaan Kesihatan mencapai pertumbuhan 24 peratus YoY yang luar biasa.
“Kumpulan melaporkan LBT sebanyak RM27.0 juta bagi tempoh tersebut, turun daripada PBT sebanyak RM21.6 juta tahun lepas. EBITDA juga turun sebanyak 65 peratus, jatuh daripada RM70.3 juta pada 1H TK2022 kepada RM24.3 juta pada 1H TK2023,” jelasnya.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, Kumpulan gembira dengan kemajuan luar biasa yang dibuat oleh bahagian penjagaan kesihatan pada suku dilaporkan.
“Objektif kami adalah untuk meluaskan jejak Kumpulan ke kawasan yang penting secara strategik, sebagai tindak balas kepada permintaan yang semakin meningkat daripada pesakit global, juga bakal menjadi aspek penting dalam inisiatif strategik kami yang akan datang.
“Pada masa yang sama, kami tetap teguh dalam dedikasi kami untuk meningkatkan kelestarian dan keuntungan Bahagian Perladangan kami. Kami komited untuk memanfaatkan teknik inovatif dalam menambahbaik kecekapan operasi, meningkatkan mekanisasi, dan mencapai hasil jangka panjang yang optimum,” katanya. – UTUSAN










