PETALING JAYA: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sangat memberangsangkan pada 2022 dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.6 peratus, peningkat ketara berbanding 1.3 peratus tahun sebelumnya.
Sumbangan PMKS kepada KDNK negara turut meningkat kepada 38.4 peratus berbanding 37.4 peratus pada tahun 2021.
Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan PMKS juga kembali mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan pada kadar 8.7 peratus (2021: 3.3 peratus).
Ini menjadikan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara meningkat daripada RM520.0 bilion pada tahun 2021 kepada RM580.4 bilion pada tahun 2022.
Prestasi itu diumumkan semasa Sidang Media Prestasi PMKS 2022 oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Bangi Resort Hotel, hari ini.
Menurut beliau, eksport PMKS pula terus melonjak dengan peningkatan sebanyak RM20.2 bilion kepada RM144.5 bilion berbanding RM124.3 bilion pada tahun 2021.
Bagaimanapun, peratus sumbangan PMKS kepada jumlah eksport menurun kepada 10.5 peratus tahun lalu berbanding 11.4 peratus pada 2021 memandangkan eksport oleh syarikat besar dan multinasional berkembang pada kadar yang lebih tinggi.
“Dari segi pasaran pekerja, PMKS menggaji seramai 7.59 juta pekerja pada tahun 2022 iaitu kenaikan sebanyak 3.8 peratus dengan sumbangan PMKS kepada jumlah guna tenaga meningkat kepada 48.2 peratus (2021: 47.8 peratus).
“Sementara itu, produktiviti pekerja PMKS juga telah bertambah baik dengan mencapai nilai RM76,433 bagi setiap pekerja berbanding RM71,089 bagi setiap pekerja pada tahun sebelumnya,” kata beliau.
Ewon Benedick berkata, dalam usaha merangsang pertumbuhan PMKS agar lebih berdaya tahan dan mampan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya SME Corp. akan terus komited untuk memperkukuh pelaksanaan program-program pembangunan PMKS secara bersasar.
“Setakat ini, terdapat 225 program pembangunan PMKS yang sedang giat dilaksanakan oleh 12 Kementerian, 56 Agensi dan 7 Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM10.6 bilion,” katanya.
Tambah beliau, KUSKOP akan terus komited dalam memperkasakan PMKS supaya kekal berdaya saing bagi membolehkan mereka menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
Matlamat ini adalah selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi Malaysia MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Sehubungan itu, PMKS perlu mula berfikir secara global bagi memastikan penawaran produk dan perkhidmatan mencapai kualiti, piawaian, kapasiti pengeluaran dan tempoh penghantaran yang memenuhi kehendak pasaran dan kalis masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










