PETALING JAYA: Pemaju hartanah, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) mencapai skor Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) sebanyak 86 peratus dan Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) sebanyak 92.63 peratus untuk SkySierra Residences (The Valley).
Menurut SkyWorld, penilaian daripada Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) tersebut adalah markah tertinggi yang diterima oleh syarikat setakat ini.
Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CREAM, Ir. M. Ramuseren kepada Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng di SkySierra Residences (The Valley) di Setiawangsa, baru-baru ini.
Chee Seng berkata, pengiktirafan daripada CREAM untuk skor QLASSIC dan SHASSIC tertinggi adalah bukti komitmen SkyWorld terhadap kualiti dan keselamatan sebagai pemaju hartanah bandar terkemuka.
“Melalui proses yang ketat dan pemeriksaan menyeluruh, kami memastikan untuk menyediakan rumah yang memenuhi atau mengatasi keperluan industri serta bertahan dalam ujian masa. Ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan rumah berkualiti tinggi kepada rakyat.
“Kami akan terus berinovasi dan menolak halangan dalam reka bentuk untuk menyediakan pelanggan kami rumah yang terbaik,” katanya dalam kenyataan.
SkySierra Residences (The Valley) yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM761 juta, terletak di lokasi strategik seluas 1.88 hektar.
Pembangunan tersebut merangkumi 1,309 unit kediaman yang direka teliti dengan saiz antara 800 hingga 1,318 kaki persegi, memastikan ruang kediaman yang mencukupi untuk penduduk.
Mempunyai tiga menara ikonik masing-masing 48, 43 dan 54 tingkat, The Valley ditetapkan sebagai bangunan kediaman tertinggi yang dibina oleh syarikat setakat ini dan bangunan kediaman tertinggi di Setiawangsa.
Kesemua 1,309 unit di SkySierra Residences (The Valley) telah terjual. – UTUSAN










