PETALING JAYA: Selaras dengan langkah untuk meliberalisasikan industri pengurusan dana, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memperkenalkan rangka kerja Skim Pengecualian Asing (FES).
Rangka kerja itu memberikan akses pesisir yang lebih besar kepada entiti bernilai bersih tinggi dan pelabur institusi kepada dana pelaburan asing.
Selain itu, SC juga memperkenalkan fleksibiliti kepada pengurus dana borong yang ingin melabur dalam produk pelaburan alternatif yang melangkaui aset konvensional semasa seperti sekuriti, derivatif, instrumen pasaran wang dan deposit.
Usaha SC itu juga bertujuan memastikan kawal selia berkesan yang memudahkan inovasi produk sambil memupuk persekitaran pelaburan inklusif untuk pelabur yang mempunyai pelbagai keperluan risiko.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, dengan memberi akses lebih luas kepada pilihan pelaburan, entiti bernilai bersih tinggi dan pelabur institusi akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mempelbagaikan portfolio mereka.
“Rangka kerja FES membuka ruang baharu untuk entiti bernilai tinggi dan pelabur institusi untuk mengakses dana yang ditawarkan oleh pemain asing yang merupakan perbadanan berkaitan dengan syarikat pengurusan dana berlesen SC.
“Selain itu, langkah ini membolehkan pengurus dana menawarkan lebih banyak produk dan pilihan pelaburan kepada pelabur tempatan, sejajar dengan usaha SC untuk mempromosikan inovasi dan kebolehcapaian,” katanya dalam kenyataan.
Garis panduan yang disemak berkaitan dengan langkah-langkah itu, berkuat kuasa pada 29 Ogos 2023. Ia termasuk Garis Panduan Penawaran, Pemasaran dan Pengagihan Dana Asing (Garis Panduan OMD) dan Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan (Garis Panduan UCMP).
Garis panduan OMD yang disemak juga membenarkan penyenaraian sekunder dana dagangan bursa (ETF) bukan biasa, menggalakkan lebih banyak peluang pelaburan dalam pasaran Malaysia. Ini tertakluk kepada lima ETF sedemikian bagi setiap pengendali asing.
Penambahbaikan kepada garis panduan memberikan kejelasan mengenai jangkaan mengenai tanggungjawab mengemukakan pihak untuk dana asing, memastikan proses yang jelas dan diperkemas. – UTUSAN










