RM637 bilion pelaburan baharu diperlukan

RM637 bilion pelaburan baharu diperlukan

NIK Nazmi Nik Ahmad melancarkan Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran Tenaga Nasional Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM637 bilion pelaburan baharu diperlukan untuk mencapai sasaran tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

Menteri Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perbelanjaan tersebut termasuk menaik taraf grid, membangunkan aset-aset tenaga boleh diperbaharui (TBB) dan beberapa langkah lain yang perlu diambil untuk mencapai sasaran.

Justeru pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk memastikan peralihan yang adil dan sistematik, dengan mengambil kira trilema tenaga iaitu keterjangkauan, keselamatan dan kemampanan.

“Jadi, kita bergerak seiringan dan perlu merancang sistem yang menuju kepada lebih banyak TBB sebagai mana dengan sasaran. Kapasiti sekarang termasuk hidro, solar dan sebagainya kita adalah sekitar 25 peratus.

“Dasar-dasar yang kerajaan buat dan memperkenalkan rang undang-undang kecekapan dan konservasi tenaga dalam parlimen baru-baru ini kerana kami percaya akan membantu negara dalam melakukan peralihan tersebut dengan cara terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Peralihan Tenaga 2023 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Sementara itu,  Nik Nazmi berkata, grid yang teguh dan fleksibel adalah penting kerana peningkatan TBB yang berasaskan solar.

“Kerajaan juga telah memutuskan untuk membenarkan perdagangan rentas sempadan TBB sebagai strategi serampang dua mata bagi Malaysia untuk memanfaatkan dan meneroka permintaan TBB babaru bernilai lebih tinggi di negara jiran.

“Ini akan membolehkan kami menawarkan dan menikmati fleksibiliti grid yang lebih besar dengan integrasi TBB yang lebih tinggi di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG),” ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kementerian menyasarkan untuk mencapai penggunaan 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) dalam negara menjelang 2040.

Malah katanya beliau, kementerian berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas awam menjelang 2025 di  bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

“Kita masih lagi dalam peringkat permulaan dan banyak perubahan telah dilihat. Kita belum lagi mencapai harga kenderaan EV di bawah RM100,000 tetapi sudah ada jenama yang menawarkan kenderaan EV serendah RM160,000.

“Kedua, Tesla yang sebelum ini dikenali sebagai kenderaan mewah menawarkan model termurah di Malaysia di bawah RM200,000 iaitu kedua terendah di dunia. Pembukaan pejabat serantaunya di Cyberjaya juga menukar pemaian di negara ini.

“Jadi, saya beranggapan harga EV yang lebih rendah akan berlaku tidak lama lagi. Harus diingatkan, kita perlu melihat dalam ekosistem secara keseluruhan termasuk pengangkutan awam, mobiliti mikro dan juga logistik,” katanya.

Mengulas unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negara ini yang dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion, beliau berkata, keputusan mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Nik Nazmi memberitahu, kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati sumber NR-REE negara terdapat di 10 negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Jelasnya, data itu menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi antara negara pengeluar NR-REE, namun sebarang aktiviti perlombongan perlu dikawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan NR-REE yang dibangunkan kementerian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN