Rempeyek Mama Keen teroka pasaran luar negara

Rempeyek Mama Keen teroka pasaran luar negara

REMPEYEK keluaran Mama Keen terus mendapat permintaan dan sedia untuk meneroka pasaran luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Ketika ramai yang terjejas perniagaan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa wabak Covid-19, seorang wanita di sini sebaliknya menjadikan detik itu sebagai langkah pertama dalam perniagaan rempeyek sehingga berjaya mengembangkan ope­rasinya di peringkat kilang.

Wanita itu, Assyakirin Abas, 41, yang menghasilkan produk rempeyek dengan jenama Mama Keen berkata, semuanya bermula selepas perniagaan katering yang diusahakannya tidak dapat bertahan akibat wabak Covid-19.

Menurutnya, setelah perniagaan katering tidak dapat dite­ruskan, dia membuat rempeyek secara kecil-kecilan di rumah pada tahun 2020 dan hanya menjualnya di sekitar kawasan tempat tinggal.

Katanya, dia tidak menyangka menerusi strategi pemasaran melalui media sosial, produk itu mendapat sambutan dan menerima tempahan dari seluruh negara.

“Saya tidak menyangka per­niagaan kecil yang saya usa­hakan semasa PKP kini berkembang sehinggakan saya menyewa sebuah kilang bagi menampung permintaan,” katanya.

Mama Keen Empire kini beroperasi di Kawasan Perindustrian Kecil Siputeh di sini.

Mama Keen Empire mengeluarkan 20 jenis rempeyek berasaskan sayur-sayuran antaranya perisa daun kari, daun limau purut, pedas berapi, daun kesum, bayam Brazil, udang Kering dan lobak merah.

Menurut Assyakirin, kejayaan yang dicapainya hari ini disifatkan begitu singkat apatah lagi dia tidak mempunyai ilmu dan pengalaman dalam perniagaan pembuatan makanan seperti rempeyek.

Katanya, sebagai langkah mengembangkan perniagaannya dia sering menyertai kursus-kursus yang ditawarkan agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, dari situ dia dapat menambah ilmu perniagaan seperti bagaimana hendak mendapatkan pensijilan halal, Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan sebagainya.

“Perniagaan saya semakin berkembang dan kini beroperasi di sebuah kilang.

“Saya dalam perancangan untuk memasarkan produk ke luar negara dengan memulakan langkah untuk memasuki pasaran luar antaranya Ireland dan Singapura dalam masa terdekat,” jelasnya.

Assyakirin mengakui bantuan dan inisiatif dari segi modal, seminar oleh agensi kerajaan negeri amat membantunya dalam perkembangan perniagannya.

Katanya, lebih penting bantuan dan bimbingan daripada agensi kerajaan negeri bukan sahaja membantunya, malah ramai lagi usahawan yang lain untuk terus maju.

“Apabila menyertai kursus-kursus perniagaan, bukanlah geran peruntukkan perniagaan semata-mata yang saya cari, tetapi lebih penting ialah ilmu pengetahuan perniagaan, rangkaian perniagaan, kenalan usahawan apabila mengikuti kursus yang ditawarkan kerajaan.

“Inilah yang sebenarnya yang mampu membawa usahawan ke peringkat lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN