PETALING JAYA: Program Inisiatif Hijau Synergy terus diperluas merangkumi komuniti dan organisasi untuk menyokong matlamat Kerajaan Negeri Selangor bergelar Bandar Pintar emisi rendah karbon menjelang 2025.
Program berkenaan menyasarkan penjimatan tenaga yang setara dengan mencegah lebih daripada 3,700,000 tan emisi CO2, yang serupa dengan penanaman lebih 100,000,000 pokok dalam jangka masa lebih 10 tahun bagi 6,000 Badan Pengurusan Bersama (JMB) / Perbadanan Pengurusan (MC) Hartanah Berstrata di Selangor.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, sasaran 2023 adalah untuk melaksanakan 10 peratus pencahayaan LED dalam perbandaran Selangor.
EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Roadziah Ismail serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) – Synergy menegaskan komitmennya terhadap tujuan wawasan ini dengan terus melaksanakan penyelarasan dengan rakan kongsinya, JL Facilities Management Sdn. Bhd. (JLFM), Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan MC Hartanah Berstrata di daerah Selangor.
Roadziah berkata, kerajaan negeri Selangor telah menjalankan proses penilaian yang ketat dan melaksanakan perjanjian pelantikan Synergy bagi dasar ini.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Synergy kerana memilih Selangor untuk memulakan program bernilai RM400 juta ini yang akan memberikan manfaat kepada 6,000 JMB atau MC Hartanah Berstrata di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Synergy ESCO, Eva Yim berkata, pihaknya menawarkan penyelesaian penjimatan tenaga sepenuhnya, dari segi produk, perkhidmatan, protokol penjimatan dan kewangan, tiada kos pendahuluan untuk menyertai program ini.
“Kami adalah penentu perubahan di pasaran dengan 210 lumen per watt hanya pada 5 watt dan direka untuk bertahan sehingga 150,000 jam yang bersamaan dengan 34
tahun.
“Kami melakukannya untuk segmen komersil tetapi kini kami benar-benar mahu mengetengahkannya kepada segmen kediaman memandangkan ia merupakan bahagian penting dalam keseluruhan masyarakat,” katanya.
Geo Bukit Rimau terletak di Shah Alam merupakan hartanah pertama dalam pengurusan JLFM yang bekerjasama menerusi program ini dengan sokongan pihak majlis perbandaran tempatan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Bergelar antara peserta terawal program ini, Geo Bukit Rimau dikenali sebagai salah satu daripada “Perintis Hijau” Synergy. – UTUSAN