PETALING JAYA: UBB Investment Bank Limited (UBB IB), anak syarikat milik penuh UBB Amanah membentuk kerjasama strategik dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Kerjasama itu bertujuan menyediakan perkhidmatan menyeluruh dan patuh shariah di samping menggalakkan pengeluaran zakat dalam kalangan pelanggan Islam dan membantu pungutan zakat.
Memorandum Pelantikan (MoA) itu mengukuhkan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan kewangan holistik selaras dengan tuntutan agama yang seterusnya membuka jalan ke arah pengurusan sumbangan zakat oleh pelanggan bagi pihak PPZ-MAIWP.
MoA ditandatangani oleh Pengerusi UBB IB, Datuk Razman Mohd. Noor dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif UBB IB, Razlan Raghazli dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
Razman berkata, dalam usaha berterusan untuk menyediakan penyelesaian holistik kepada pelanggan, Syarikat gembira dapat memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memudahkan pengurusan zakat yang turut mengutamakan ketelusan dan amanah.
“Kami gembira menjadi bank pelaburan perintis yang bekerjasama sebagai rakan pungutan bagi pihak PPZ-MAIWP. Kami di UBB IB berbangga menjadi pemangkin yang membolehkan pelanggan mencapai kejayaan dalam pengurusan kekayaan dan perlindungan legasi. Melaluinya, kami akan dapat membantu meningkatkan sumbangan zakat di samping memastikan pelaksanaan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Aziz pula berkata, pihaknya gembira kerana UBB IB menjadi rakan strategik bagi membantu menguruskan kutipan zakat dalam kalangan pelanggan Islam dan memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan tenang.
“Kami yakin bahawa UBB IB akan menguruskan perkara ini dengan berkesan dan selamat. Kami sentiasa bersedia membentuk gabungan dengan pelbagai rakan untuk menawarkan kepada umat Islam kemudahan melaksanakan tanggungjawab mereka. Sehingga kini, kami telah bekerjasama dengan lebih 100 buah organisasi dan institusi,” katanya.
UBB IB akan menawarkan perhidmatan kutipan zakat di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
Berikutan majlis tandatangan itu, UBB Amanah Berhad, sebuah syarikat amanah berlesen penuh dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam perkhidmatan amanah telah memperkenalkan perkhidmatan amanah patuh shariah dikenali sebagai ‘Amanah Liawm Mumtir’ (ALM), bermaksud menyimpan wang tunai untuk hari susah.
Produk amanah baharu itu diwujudkan bagi membolehkan individu dan badan korporat menyimpan di ALM.
UBB Amanah komited dalam melindungi dan memastikan pewaris mendapat akses kepada dana berkenaan sekiranya berlaku kematian atau perkara yang tidak diingini, suatu dedikasi dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang beretika dan bertanggungjawab. – UTUSAN










